KUALA SELANGOR – Seramai tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan kes tetak membabitkan seorang lelaki kurang upaya (OKU) di Taman Permai, Jeram dalam kejadian 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab menjelaskan, tujuh lelaki terbabit disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Masyarakat dinasihatkan tidak mempercayai apa-apa yang tular atau maklumat yang tidak sahih berkaitan kes ini dan tidak menyebarkan maklumat sama kepada orang lain.

“Diingatkan juga mana-mana individu yang didapati cuba mencetuskan suasana tidak harmoni, ketakutan dan kegentaran kepada awam samada melalui perbuatan atau hebahan maklumat salah, boleh dikenakan tindakan.

“Mereka boleh dikenakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara yang boleh sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: OKU kena tetak sampai putus urat tangan ]

Md Asri menegaskan, keadaan keselamatan di daerah ini khususnya di Jeram adalah terkawal dan masyarakat masih terus menjalankan aktiviti rutin seperti biasa.

“Selain itu, sebarang kenyataan atau maklumat hanya akan dikeluarkan secara rasmi oleh polis sahaja dan meminta orang ramai untuk tidak mempercayai rakaman video atau kenyataan yang disebarkan individu tertentu.

“Peringatan ini diberikan susulan penularan rakaman video dan kenyataan serta pesanan suara yang memberi gambara tidak tepat dalam media sosial mengenai insiden yang berlaku.

“Ini sekali gus boleh mengundang kegusaran dalam kalangan masyarakat dan tindakan tersebut dilihat sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu tanpa merujuk kepada pihak polis,” katanya.