• Trend membeli-belah saat akhir di Aidilfitri Pemandangan di Kompleks Sogo yang dibanjiri pengunjung.
  • Trend membeli-belah saat akhir di Aidilfitri Ibu bapa turut ambil kesempatan membeli belah di saat akhir.
  • Trend membeli-belah saat akhir di Aidilfitri Khusyuk memilih baju kurung.
1 /

SHAH ALAM - Khamis ini, umat Islam akan menyambut Aidilfitri setelah sebulan menunaikan ibadah puasa. Walaupun perayaan semakin hampir, seolah-olah menjadi trend apabila ramai dalam kalangan kita yang tetap memilih untuk melakukan persiapan di saat-saat akhir.

Faktor kekangan masa kerana bekerja membuatkan ramai yang memilih untuk membuat persiapan akhir, terutamanya di hujung minggu.

Bagi pekerja di sektor awam, ada yang menunggu pemberian bantuan RM500 diberikan kerajaan untuk meringankan beban mereka.

Kemeriahan membeli belah di saat akhir juga lebih dirasai apabila penjual mula menurunkan harga berbanding ketika di awal Ramadan lalu.

Malah, ‘perang harga’ antara peniaga merupakan pemandangan biasa terutamanya menjelang malam raya apabila masing-masing ingin menghabiskan stok jualan.

Tinjauan Sinar Harian di Kompleks Sogo dan Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur serta Kompleks PKNS, Shah Alam mendapati ribuan pengunjung tidak putus-putus membanjiri lokasi popular tumpuan ramai menjelang raya itu.

Semakin menghampiri sambutan Aidilfitri, tiga lokasi tersebut semakin padat dengan lautan pengguna yang ingin mencari kelengkapan untuk hari raya nanti.

Walaupun terpaksa bersesak, bukan menjadi masalah besar bagi mereka asalkan keperluan raya yang berkenan di hati berjaya diperoleh.

Bagi pekerja kedai emas, Nor Azidah Idris, beliau lebih gemar menunggu hari-hari terakhir puasa untuk melakukan persiapan Aidilfitri.

Katanya, kebiasaannya beliau akan melakukan tinjauan harga terlebih dahulu di awal Ramadan sebelum beli kelengkapan raya.

“Saya dapati memang ada perbezaan harga ketika mula berpuasa dan menjelang raya. Beli baju raya lambat lebih untung kerana harganya lebih murah,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Naim Samori dari Puchong, Selangor berkata, beliau sengaja memilih membuat persiapan di saat akhir kerana ingin merasai suasana hari raya.

“Kalau beli awal-awal kurang seronok sikit kerana ‘mood’ raya belum sampai lagi. Di hujung-hujung Ramadan, barulah terasa kemeriahannya.

“Saya turut bawa saudara mara dari Perak untuk beli-belah di Shah Alam dan Kuala Lumpur kerana lebih meriah. Tetapi selalunya saya hanya beli kelengkapan tambahan. Keperluan yang penting sudah dibeli dari awal lagi,” katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan suri rumah, Nuridah Abdullah yang merasakan membeli belah di saat akhir lebih menyeronokkan walaupun terpaksa bersesak-sesak dengan orang lain.

“Walaupun ada keperluan raya yang sudah dibeli, saya suka melihat suasana meriah menjelang raya. Anak-anak juga kebiasaannya akan membeli belah pada malam raya. Cuma kena bersesak sikit terutamanya untuk dapat tempat letak kereta, tetapi itu perkara biasa,” katanya.

Peniaga turun harga

Bukan saja pembeli yang merasai keterujaan membeli-belah di saat akhir, malah peniaga juga menganggap inilah masanya untuk meraih keuntungan berlipat ganda.
Menurut peniaga baju kurung, Roslina Othman, semakin hari raya menghampiri, beliau tidak menang tangan melayan pelanggan.

“Sepanjang pengalaman saya berniaga, kebanyakan pelanggan lebih gemar berbelanja di penghujung Ramadan. Ini kerana, mereka merasakan lebih mudah dapat harga murah.

“Sebagai peniaga, kita ikut juga kemahuan pembeli untuk turunkan harga. Cuma, tidaklah terlalu banyak kerana kita juga mahu untung,” katanya.

Sementara itu, bagi Shafieq Nizu yang menjual kelengkapan lelaki seperti jubah dan songkok berkata, beliau sudah bersedia menghadapi peningkatan jumlah pengunjung berbanding di awal Ramadan.

“Selalunya, sepuluh hari terakhir puasa orang ramai memang tidak putus-putus.

“Walaupun saya menjual kelengkapan lelaki, tetapi kebanyakan pelanggan adalah dalam kalangan wanita yang beli untuk suami atau saudara lelaki mereka. Untuk barangan tertentu, kita memang akan turunkan harga untuk menghabiskan stok,” katanya.

Menurut Nurul Ashikin Paimen yang menjalankan perniagaan baju Melayu, sambutan terhadap jualannya semakin rancak berbanding tahun lalu.

“Kita akan melanjutkan perniagaan sehingga malam raya bagi memberi peluang kepada pelanggan yang tidak berkesempatan melakukan persiapan awal. Pada malam raya nanti, kita akan beri harga istimewa kepada pelanggan.

“Pelanggan yang beli di saat akhir ini selalunya mencari baju bagi menepati warna tema dipilih. Cuma, masalah sering dihadapi mereka ialah tiada saiz yang sesuai,” katanya.