SABAK BERNAM - Seorang pemandu treler nyaris terkorban apabila kenderaan berat yang membawa muatan garam yang dipandunya terbabas di Jalan Persekutuan Klang - Teluk Intan, berhampiran Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa, seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu kenderaan jenis Mercedes itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, hasil siasatan awal mendapati, treler tersebut dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Klang dengan membawa muatan garam.  

“Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan berat tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar pembahagi jalan jenis konkrit sebelum terbalik merentangi laluan bertentangan,” katanya.

Nor Azmi berkata, meskipun kenderaan berat itu terbalik dan laluan bertentangan terhalang, keadaan lalu-lintas terkawal dan tidak mengalami kesesakan.

“Aliran trafik dari arah Sekinchan ke Sabak Bernam dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor Lama melalui Pekan Sungai Besar,” katanya.

Katanya, tiada kenderaan atau mangsa lain yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.