• kereta-langgar-tiang
1 /

KAPAR - Sedang masyarakat menyambut tahun baru 2012 detik jam 12 tengah malam semalam, dua rakan terbunuh apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka dilanggar kenderaan lain sebelum merempuh tiang elektrik dalam kemalangan di Batu 8, Jalan Kapar.

Dalam kejadian itu, P Gobalakrishnan, 21, tersepit di tempat duduk kenderaan manakala S Kaliammah,25, tercampak keluar daripada keluar ke laluan bersebelahan turut dilanggar sebuah kenderaan lain dari arah itu.

Sebelum kemalangan, Gobalakrishnan yang bekerja sebagai jurujual, dari Setia Alam dipercayai ingin menghantar Kaliammah pulang ke kediamannya di Persiaran Hamzah Alang.

Menurut saksi kejadian, kereta yang dinaiki dia rakan itu dipandu Kaliammah telah dilanggar sebuah kenderaan lain dari arah belakang menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik yang berada di pembahagi tengah jalan.

Rempuhan kuat pada tiang itu menyebabkan Kaliammah tercampak ke laluan bersebelahan sebelum dia dilanggar sebuah jip yang kebetulan melalui jalan berkenaan. Berikutan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam masa yang sama, kenderaan mereka yang melekat pada tiang elektrik menyebabkan rakannya, Gobalakrishnan tersepit.

Tambah mengejutkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu apabila kenderaan yang melanggar kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa turut terbakar.

Anggota Bomba dari Balai Bomba Sungai Pinang dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mayat mangsa serta memadamkan kebakaran.

Walaupun kebakaran berjaya dipadamkan namun pemandu kenderaan itu hingga kini belum dapat dikesan dan dipercayai menghilangkan diri sejurus kejadian berlaku.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Viva dalam perjalanan dari Klang menghala Kapar telah melanggar tiang elektrik sebaik kenderaan mereka dirempuh di bahagian belakang oleh sebuah kenderaan lain.

“Akibat kejadian itu, kedua-duanya maut di tempat kejadian dan mayat kedua-duanya dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, hingga kini pihaknya masih mengesan pemandu kereta yang melanggar kenderaan dinaiki dua sekawan itu bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran.