BANTING - Baru dibebaskan dari penjara Simpang Renggam pada Januari lalu, namun seorang lelaki masih tegar menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Kegiatan lelaki itu dikesan dalam Ops Sarang  dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri, di kawasan ladang kelapa sawit Telok Panglima Garang dan Tanjung Sepat, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, serbuan yang juga mendapat kerjasama Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting), Bukit Aman dijalankan seawal jam 2 pagi di dua lokasi 'hotspot'.

Menurutnya, 30 individu berusia lingkungan 20 hingga 59 tahun termasuk seorang wanita ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

"Pemeriksaan kita mendapati seorang daripada yang ditahan merupakan pengedar dadah.

"Semakan rekod terhadap suspek ini mengesahkan dia baru dibebaskan dari penjara Simpang Renggam pada Januari lalu selepas menerima hukuman Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK)," katanya pada sidang media di IPD Kuala Langat, hari ini.

Mengulas lanjut, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di Tanjung Sepat dan polis percaya lelaki ini telah mula aktif kembali sejak dibebaskan dari penjara.

Azizan berkata, siasatan awal mendapati, suspek bukan sahaja aktif di Kuala Langat, malah di daerah berhampiran seperti Sepang dan Subang Jaya. Pihaknya juga percaya suspek ini mendapatkan bekalannya dari rangkaian lain di Sepang.

Katanya, modus operandi suspek yang positif dadah itu adalah mensasarkan kawasan-kawasan ladang kelapa sawit  dengan menunggu pelanggannya untuk mengedar dadah jenis heroin di kawasan tertentu seawal jam 5 pagi sehingga 2 petang.

Dalam operasi yang berakhir jam 5 petang, polis turut merampas wang tunai RM1,000 selain dadah seberat kira-kira 100 gram.

"Sebanyak 40 motosikal turut dirampas yang disyaki terlibat dalam kes kecurian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952  dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENDANG - Dua lelaki tempatan ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 29.02 gram dan syabu seberat 14.50 gram di Kampung Bukit Chepat pada jam 1.30 pagi tadi.
  • KUANTAN - Seorang pemilik bengkel di Felda Lepar Hilir, di sini, disyaki tokan (pengedar) dadah antara 61 suspek yang berjaya dicekup dalam Ops Sarang Khas Narkotik 2, di sini, semalam.