KUALA LUMPUR - Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengunci meter air di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada Julai lepas adalah mengikut undang-undang dan tiada kaitan dengan politik, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
   
Beliau berkata DBKL melaksanakan tanggungjawab mengikut undang-undang dengan bertindak mengunci meter air sekiranya pengguna tidak membayar bil air yang digunakan dan menyelesaikan segala bil tertunggak.
   
"Ia tidak bermotifkan politik. Jika mereka (PPR penduduk) tidak mahu membayar, kita akan ambil tindakan, kami akan memotong bekalan air dan sekiranya perlu memotong bekalan elektrik, kami akan melakukannya agar mereka membayar apa sahaja yang mereka digunakan," katanya.
   
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang menyifatkan tindakan DBKL berunsur politik kerana mengunci meter air selepas pilihan raya umum ke-13, selain memaksa penduduk di PPR Lembah Pantai membayar sewa tertunggak.
   
Baru-baru ini, DBKL mengambil tindakan mengunci meter air di PPR Muhibbah, Cheras dan di seluruh PPR di Lembah Pantai.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib pagi tadi memberi kebenaran kepada penduduk PPR berkenaan untuk membayar ansuran RM10 terlebih dahulu bagi membuka meter air mereka.
   
Persetujuan itu dicapai selepas pertemuan Ahmad Phesal dengan Nurul Izzah di ibu pejabat DBKL, di sini.
   
Tengku Adnan berkata pembangkang sengaja menggunakan isu itu untuk menarik perhatian rakyat dengan menuduh kerajaan sebagai tidak adil, sedangkan kerajaan mengenakan sewa rumah yang murah iaitu RM124.50 sebulan selain subsidi tambahan RM250.
   
"Kami merupakan kerajaan yang sangat adil dan boleh bertoleransi, namun kami ada batasnya. Kami ingin bergerak ke hadapan dan mereka mesti bersama-sama untuk menjadi warganegara yang baik," katanya.
   
Terdahulu, Tengku Adnan menyerahkan surat tawaran penyewaan rumah PPR kepada 32 penerima termasuk tujuh mangsa kebakaran di Kampung Pasir. - Bernama