• Rohman (dua, kanan) melayan kunjungan ahli Peka yang ingin membeli timun aceh. Rohman (dua, kanan) melayan kunjungan ahli Peka yang ingin membeli timun aceh.
1 /

TANJONG KARANG -  Hasil tanaman timun aceh  yang ada permintaan tinggi menjelang bulan Ramadan  dan dituai tepat pada masanya menjadi punca rezeki keluarga Rohman Mohamed Esivan sekaligus dapat mengurangkan beban menanggung tujuh anak masih bersekolah.

Rohman berkata, biarpun kehidupannya serba kekurangan namun dia tetap berusaha mencari sumber rezeki untuk keluarganya, lebih-lebih lagi isterinya, Rashimah Mustakim dikesan mengidap penyakit barah payudara.

“Saya bersama isteri dan anak mengusahakan tanaman timun aceh dengan menumpang di tanah orang kerana tiada tanah sendiri dan sememangnya ketika bulan puasa, permintaan untuk buah ini begitu menggalakkan.

"Dengan timun aceh dan beberapa hasil tanaman lain, dapatlah kami sekitar RM500 dan wang itulah yang digunakan sebaik mungkin untuk keperluan harian serta kegunaan anak sekolah,” katanya.

Kesusahan keluarga berkenaan menyebabkan bekalan air mereka terpaksa dipotong kerana gagal melunaskan tunggakan bil air berjumlah RM236.63.

Ia kemudiannya mendapat perhatian Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) serta menjadikannya sebagai satu daripada lima keluarga yang  menerima bantuan Tabung Budi di daerah ini.

Menurut Rohman, keluarga berterima kasih dan terharu kerana masih ada yang sudi membantunya menyalurkan semula bekalan air yang dipotong dan menanggung kos bil selama enam bulan selain bantuan pembayaran penuh tunggakan air serta bayaran caj perkhidmatan penyambungan bekalan air.

“Kami bersyukur kerana bulan puasa kali ini lebih meriah berbanding sebelumnya tambahan pula, bebanan dapat dikurangkan selepas menerima sumbangan Ramadan seperti tepung, minyak masak, susu sebagainya.

“Kami akan memanfaatkan bantuan bekalan air ini menerusi tip penggunaan air secara berhemah dan berusaha memastikan tiada tunggakan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Setakat ini, seramai 292 keluarga menerima manafaat melalui program anjuran Peka dengan jumlah sumbangan bergantung kepada keikhlasan penderma terdiri kakitangan
Syabas, Puncak Niaga, badan korporat dan individu serta tidak terhad kepada mereka yang menerima subsidi air dari Kerajaan Negeri.

Manakala dana diterima berjumlah RM308,574.65  selain RM3,068.80 diterima secara berperingkat daripada kakitangan Syabas dan Puncak Niaga Sdn Bhd menjadikan  keseluruhan komitmen derma RM311,643.25.