KAJANG – Sebanyak tiga mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang ditempatkan di sebuah premis di Taman Muhibbah, di sini, terbakar awal pagi tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.30 pagi.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelama Kajang bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan tentang kebakaran itu.

Alimaddia berkata, pihaknya mendapati api sedang marak, setelah pihaknya tiba di lokasi kejadian.  

“Api telah memusnahkan 100 peratus ruangan dalam premis tersebut menyebabkan tiga mesin ATM terbakar dalam kejadian tersebut,” katanya.

Beliau berkata, tiada kecederaan mangsa dilaporkan dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.