KLANG - Dua kanak-kanak sanggup meletakkan nyawa dalam bahaya hanya untuk menangkap merpati di atas bumbung apartmen lapan tingkat.

Mereka memanjat bumbung Pangsapuri Seri Proton di Jalan Kebun, di sini, tadi.

Bagaimanapun keterujaan mereka bertukar tragedi selepas terjatuh dari bangunan itu.

Nasib menyebelahi kanak-kanak berusia 11 dan 8 tahun tersebut kerana hanya cedera ringan selepas terjatuh pada bahagian tangga di tingkat sama.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pengadu yang memaklumkan kejadian dua kanak-kanak terjatuh pada jam 2.15 petang tadi.

"Mangsa memanjat tangki air sebelum terpijak siling bumbung dan terjatuh pada tangga di tingkat sama.

"Mereka mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)," katanya.

Katanya, kedua-dua kanak itu dipantau di zon kecemasan HTAR dan akan menjalani pemeriksaan x-ray.