KUALA LUMPUR - Polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad menerima laporan  empat kes gangguan seksual pada Khamis lepas dalam rangkaian rel Rapid KL.

Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana Lim Jin Aun berkata suspek-suspek yang terlibat dalam tiga kes itu telah ditahan tidak lama selepas mangsa melaporkan insiden berkenaan kepada polis bantuan yang bertugas.

Katanya, suspek kes keempat berjaya melarikan diri selepas dikejar polis bantuan yang bertindak sebaik  sahaja menerima laporan daripada mangsa, katanya dalam kenyataan hari ini.

"Bagaimanapun, pihak kami sudah mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman itu sudah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

"Kami telah bertemu mangsa dan memberi jaminan kejadian itu akan disiasat dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun ini Prasarana berjaya menahan 21 individu yang disyaki terlibat kes seumpama itu dan menahan 13 suspek kerana disyaki mengganggu penumpang dalam pengangkutan awam. - Bernama