PUTRAJAYA - Sekolah Putrajaya Presint 16 (1) adalah antara 300 sekolah perintis pertama yang menerima keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) hari ini dalam bentuk pentaksiran secara holistik.

Pengetuanya Ab Aziz Mamat berkata Pelaporan Profil Murid Tingkatan Tiga yang diumumkan bersama dengan keputusan PT3 menunjukkan pencapaian pelajar dalam akademik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Untuk tahun pertama pelaksanaan keputusan ini, saya melihat ibu bapa secara langsung dapat melihat kecenderungan anak mereka ke arah mana dan tidak terlalu tertumpu kepada bilangan A yang diperoleh semata-mata,” katanya kepada media selepas pengumuman keputusan PT3 di sini, hari ini.

Sambil menyokong pelaksanaan pentaksiran itu, beliau berkata ia juga membantu seseorang pelajar untuk mempersiapkan diri dengan seimbang  dalam semua aspek.

Menurutnya kecemerlangan seseorang pelajar tidak seharusnya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata tetapi juga dari segi kecergasan fizikal serta sahsiah peribadi yang dimiliki.

Sementara itu, Hatifah Mohamed, ibu kepada pelajar yang menerima keputusan PT3  hari ini berkata format keputusan PT3 yang diperkenalkan tahun ini adalah lebih baik berbanding sebelumnya.

Namun, katanya, ia perlu ditambah baik terutamanya bagi pemahaman ibu bapa dan pelajar untuk mentafsir keputusan masing-masing.

“Walaupun guru memberi penerangan tetapi ada beberapa elemen bagi saya yang sukar diterjemah atau difahami makna setiap keputusan itu,” katanya.

Seramai 1,526 pelajar Tingkatan Tiga termasuk dua pelajar kurang upaya dari 11 sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan agama serta sekolah berasrama menduduki PT3 di Putarjaya tahun ini. – Bernama