RAWANG - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) membuat serbuan ke atas sebuah tapak projek pembinaan di sini selepas menerima aduan kecurian air dilakukan pemaju berkenaan.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna, Loh Pit Mui berkata, aduan diterima daripada Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) yang telah menyiasatnya sejak sebulan lalu.

Menurutnya, pemaju telah membuat penyambungan haram melalui paip utama ke tapak projek dan turut digunakan untuk aktiviti harian serta rumah kongsi pekerja.

“Ujian klorin di tapak mengesahkan bekalan air yang diterima merupakan air terawat menyebabkan berlakunya air tidak berhasil (NRW) dan kerugian dianggarkan RM163,000.

“Aktiviti itu dikesan melalui unit pemantau menumpukan tapak projek. Tapak projek tersebut sebelum ini terbengkai dan pemaju terdahulu mempunyai akaun yang telah ditamatkan Julai tahun lalu.

“Pemaju semasa telah menyambung projek tersebut namun melalui semakan sistem tiada akaun bekalan baharu didaftarkan,” katanya.

Katanya, pemotongan bekalan telah dilakukan serta merta dan pemaju berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat sebarang sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip perkhidmatan.

“Jika disabitkan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Januari hingga September sebanyak 4,043 aduan kecurian air diterima dan 98 daripadanya telah disahkan kesahihannya.

Selangor mencatatkan 32.2 peratus NRW tahun lalu dan usaha meningkatkan kesedaran awam dan pencegahan giat dijalankan bagi mengurangkan jumlahnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh melaporkan aduan di talian 03-8317 9333 atau aduan@span.gov.my.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEMENYIH - Penduduk di Taman Naqsyabandiah di sini, kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai mencuri air milik Air Selangor berhampiran kawasan perumahan mereka.
  • SUNGAI PETANI - Seorang pengusaha ladang didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan mencuri air dari Syarikat Air Darulaman (SADA) untuk dibekalkan ke ladang nangka miliknya bersama rakan kongsinya, lima tahun lalu.
  • SERDANG - Sebuah kolam memancing di Jalan Desa Serdang 12, Taman Desa Serdang di sini, diserbu Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), hari ini kerana disyaki mencuri air terawat sejak enam tahun lalu.
  • BALAKONG - Sebuah kilang membancuh simen diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) kerana disyaki melakukan sambungan bekalan air tidak sah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.