SABAK BERNAM - Penternak lembu diminta tidak melepaskan haiwan ternakan ke jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Seorang penduduk, Roslee Hashim, 51, berkata, dia kesal berikutan kejadian kemalangan menimpa anak saudaranya, Nas Aslee Amiza, 17 selepas terbabit dalam kemalangan langgar lembu.

Menurutnya, pemilik haiwan berkenaan dilihat seolah cuba lepas tangan dalam perkara berkenaan.

“Saya hairan, lembu itu seolah sengaja dilepaskan pemiliknya dan dibiarkan merayau sehingga ke jalan besar.

“Malah, sebelum ini juga terdapat kes membabitkan haiwan ternakan ini sehingga melibatkan kematian,” katanya.

Roslee berkata, pihak berwajib seperti Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) perlu mengambil tindakan tegas bagi memastikan perkara berkenaan tidak berulang kembali.

Sebelum ini, Nas Aslee terlibat dalam kejadian kemalangan di Sungai Lias, Sungai Besar, pada 30 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira kira 12.40 tengah malam, Nas Aslee yang dalam perjalanan ke Sungai Besar menunggang motosikal jenis Suzuki Smash parah selepas melanggar lembu dipercayai melintas secara mengejut.

Roslee ditemui di rumahnya di Kampung Nelayan, Bagan Nakhoda Omar (BNO) di sini, berkata, dia mengetahui kejadian itu ketika bersiap untuk berehat selepas pulang dari masjid.

“Ketika melelapkan mata, saya dikejutkan panggilan telefon dari Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam mengatakan anak saudara terbabit dalam kemalangan.

“Lebih menyedihkan, pihak hospital juga memaklumkan terdapat pendarahan di paru-paru kanan dia (Nas Aslee) dan perlu ditahan untuk menjalani rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, anak saudaranya yang sebelum itu dibawa ke HTAJ kemudian dirujuk ke Hospital Teluk Intan (HTI), hari yang sama.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 12-056-02-268701-8 atas nama Roslee atau menghubunginya di talian 0111-2199847.