PUTRAJAYA - BN Selangor akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan semula dilakukan terhadap kerajaan PKR Selangor berhubung isu penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengagihan tanah di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata proses pemberian milikan tanah kampung itu kepada 175 pemohon yang diakui tidak mematuhi syarat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) menjadi asas kukuh yang membolehkan siasatan semula terhadap skandal itu dilakukan.

Beliau berkata kenyataan Pengerusi Selcat Hannah Yeoh yang menggesa Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membatalkan proses pemberian milikan tanah kepada pemohon yang disenaraikan secara serta merta kerana gagal mematuhi syarat, perlu diberi perhatian khusus oleh SPRM kerana mungkin wujud unsur  'tidak sihat' sehingga saranan itu dibuat.

"Dengan pengakuan pengerusi Selcat itu, BN akan bawa semula isu ini untuk perhatian SPRM bagi membolehkan siasatan kes itu dibuka semula kerana kenyataan tersebut jelas menunjukkan kerajaan negeri dalam menjalankan tugasnya telah melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Kita mahu SPRM menyiasat mengenai penyalahgunaan kuasa yang dilakukan Jawatankuasa Pemilihan yang diberi mandat oleh kerajaan negeri apabila mengagihkan lot tanah kepada beberapa ahli keluarga, satu pelanggaran syarat iaitu satu keluarga satu lot seperti diperuntukkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Isu tanah Kampung Sg Yu yang mula dibangkitkan Adun Permatang Datuk Sulaiman Razak sejak 2016 kembali menjadi topik hangat di Selangor apabila skandal pengagihan tanah yang didakwa tidak telus, berlaku salah guna kuasa, penyelewengan dan kronisme itu mendapat perhatian Selcat.

Isu  itu dibangkitkan Sulaiman selepas beliau mempertikaikan kredibiliti Exco Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, kerana memberi jawapan bertulis mengandungi maklumat palsu berhubung isu penyerahan surat kelulusan tanah dan borang 5A Kampung Sungai Yu.

Susulan pendedahan dan persoalan yang sering ditanyakan Adun BN di dalam persidangan Dun, Selcat pada Jumaat lepas memutuskan membuat saranan agar menteri besar meluluskan beberapa saranan yang dibuat, antaranya menstruktur semula keahlian Jawatankuasa Pemilihan Tanah Senarai Nama Penduduk (Jawatankuasa Pemilihan) termasuk melantik lima Adun sebagai anggota jawatankuasa berkenaan.

Selain itu, Selcat juga mahu pemberian milikan tanah itu digantung sehingga Jawatankuasa Pemilihan yang baharu dilantik semula dan ditugaskan mengkaji serta mengesahkan kelayakan semua pemohon dengan tidak membenarkan ahli keluarga Jawatankuasa Pemilihan menjadi penerima tanah Kampung Sungai Yu.

Selcat juga memandang serius kesilapan dan kecuaian yang dilakukan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor dalam proses pengesahan dan penyemakan butiran peribadi pemohon dan mahu kedua-duanya mengambil perhatian serius berhubung isu itu bagi mengelakkan ia berulang.

Mengulas lanjut, Noh berkata jika dalam siasatan terdahulu SPRM mungkin tidak mempunyai maklumat terperinci atau melihat kes itu sebagai tidak serius tetapi pengakuan oleh Selcat perlu dijadikan asas dalam membuka semula siasatan skandal tersebut.

"Sekarang maklumat telah ada pada Selcat… SPRM cuma perlu dapatkan maklumat tersebut dan membuka semula siasatan bermula dari peringkat pejabat daerah, jawatankuasa pemilih hingga ke peringkat tertinggi dalam pentadbiran kerajaan PKR Selangor," katanya. –Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BAGAN DATUK - Sebanyak 500 unit kediaman di bawah Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) akan di bina di daerah ini sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan memiliki rumah.
  • PARIT - Tiada yang akan mematahkan semangat seorang anggota bomba untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, demikian komitmen Mohamad Azizi Rosli yang cedera selepas terkena renjatan elektrik dalam satu operasi memadam kebakaran di sebuah rumah di sini, semalam.
  • PUCHONG - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM7.1 juta untuk kerja baik pulih infrastruktur dan penyelenggaraan di empat pangsapuri sekitar Puchong di sini.
  • KAJANG - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan kira-kira RM4 juta untuk kerja membaik pulih dua pangsapuri dan sebuah dewan di Dun Dusun Tua.