SERDANG - Aktiviti pembuangan sampah haram berdekatan Hospital Serdang, di sini, semakin kronik.

Situasi ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah bau busuk yang menusuk ke dalam lubang hidung membuatkan orang ramai khususnya yang hendak ke hospital berasa mual serta tidak selesa.

Setiausaha Ahli Lembaga Pelawat Hospital Serdang, Liew Yew Fook berkata, aktiviti haram itu dikesan berlaku sejak enam bulan lalu dan kegiatan hanya dilakukan selepas tengah malam dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, pemantauan oleh pihaknya mendapati lori-lori yang membawa muatan sampah ini akan memasuki kawasan lapang yang terletak kira-kira 300 meter dari hospital berkenaan untuk membuang pelbagai jenis sampah seperti sisa makanan, perabot, bahan binaan, ranting-ranting serta banyak lagi.

Katanya, pemandu-pemandu lori berkenaan tidak akan mengambil masa yang lama dan akan segera beredar selepas selesai tugas masing-masing.

Malah kata Yew Fook, beliau percaya pemandu lori terbabit turut membayar kepada pihak bertanggungjawab untuk membenarkan mereka masuk ke kawasan berkenaa.

Menurutnya, pihak hospital  menerima banyak aduan berkaitan perkara itu dan beliau selaku Ahli Lembaga Pelawat Hospital Serdang berasa sangat bertanggungjawab untuk segera menyelesaikan masalah yang semakin menjadi-jadi itu.

“Setelah disemak, tanah kawasan lapang itu dikenal pasti milik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan aduan juga sudah dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Pelbagai jenis sampah yang dibuang mencacatkan pemandangan selain bau busuk yang memualkan.

“Bagaimanapun kita berasa kecewa dengan maklum balas diterima daripada MPSepang yang memberitahu hanya akan menjalankan siasatan pada 14 Julai nanti... Sepatutnya siasatan dan tindakan diambil segera sebaik aduan diterima bukan menangguhkan lagi ke tarikh yang lebih lama,” katanya kepada Sinar Harian.

Yew Fook berkata, pihak MPSepang juga memberitahu tapak berkenaan adalah hak milik persendirian dan bukan di bawah tanggungjawab mereka.

Menurut Yew Fook, walaupun tapak tersebut adalah tapak persendirian, MPSepang tidak seharusnya lepas tangan begitu sahaja dan perlu memainkan peranan serta mengambil tindakan sewajarnya untuk menyekat aktiviti haram itu daripada berterusan.

Ujarnya, beliau sebelum ini ada menulis surat kepada pihak UPM mencadangkan kawasan tanah lapang itu disewakan kepada pihak hospital untuk dijadikan kawasan parkir sementara ekoran hospital mengalami masalah kekurangan tempat parkir kereta.

“Saya berpendapat daripada tanah persendirian berkeluasan kira-kira 10 ekar itu terbiar dan disalah guna sehingga menjadi tempat pembuangan sampah haram, lebih baik ia disewakan kepada pihak hospital buat sementara waktu untuk dijadikan parkir.

“Ia sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah orang awam yang terpaksa parkir jauh sehingga dua kilometer dari hospital... Namun cadangan ini ditolak pihak UPM atas alasan isu perundangan,” katanya yang turut berharap isu parkir itu dapat diambil perhatian oleh Kementerian Kesihatan yang baharu.

Yew Fook berharap isu longgokan sampah haram itu dapat diselesaikan secepat mungkin dan pada masa sama, masalah berbangkit berkaitan parkir yang menyusahkan pengunjung Hospital Serdang juga dapat diambil perhatian oleh pihak berkaitan.