SHAH ALAM - Warga Selangor tidak perlu panik kerana bekalan makanan di pasar mahupun pasaraya di negeri ini bagi tempoh sepanjang dan selepas perayaan Aidilfitri adalah mencukupi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Azman Adam berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada pegawai-pegawainya menunjukkan harga serta kedudukan bekalan pada ketika ini sangat baik.

Menurutnya, pemeriksaan pihaknya di pasar-pasar di negeri ini semalam mendapati bekalan seperti sayur mahupun ayam ditawarkan dengan banyak.

Katanya, KPDNKK Selangor juga sudah memaklumkan kepada pemilik-pemilik pasaraya untuk bersedia dari aspek bekalan barang-barang kawalan bagi menampung keperluan bekalan tersebut terutamanya pada hari raya pertama dan kedua kerana terdapat pasar yang masih belum beroperasi.

“Sebahagian pasaraya di negeri ini juga dah maklumkan, mereka akan beroperasi seperti biasa pada musim perayaan dan keadaan itu beri peluang serta kemudahan kepada para pengguna untuk membeli bekalan barang kawalan yang diperlukan.

“Pasaraya di negeri ini juga sangat banyak, jadi pengguna di Selangor mahupun pengguna yang dari luar dan hendak pulang semula ke sini memang tak perlu bimbang atau panik kerana kedudukan bekalan terjamin,” katanya selepas Walkabout dan Pemeriksaan Sempena Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2018 di pusat beli-belah Aeon Mall Seksyen 13, di sini, semalam.

Selain itu, Azman berkata, KPDNKK Selangor sudah membuat pemeriksaan ke atas 1,216 premis termasuk premis-premis utama di negeri ini melibatkan 1,157 premis runcit dan selebihnya premis borong sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga sempena Aidilfitri yang dijalankan bermula 8 Jun lalu sehingga 22 Jun ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapati tahap pematuhan oleh peniaga-peniaga di Selangor sangat baik dan setakat ini, hanya tiga kes direkodkan iaitu membabitkan kesalahan tidak menggunakan tanda harga berwarna merah jambu untuk menjual barang kawalan.

Katanya, tiga kes berkenaan melibatkan rampasan sayur dan daging berjumlah RM757 dan tindakan susulan ke atas peniaga terlibat sedang dilakukan mengikut  Akta  Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sebagai contoh, sewaktu pemeriksaan tadi kita dapati tanda harga ikan ditulis dijual per 100 gram, sedangkan pengguna sebenarnya tak boleh beli 100 gram tapi kena beli seekor...Kena timbang baru harga dapat ditentukan. Malah harga ditetapkan KPDNKK adalah per kilogram seunit,"katanya.