BANGI - Seorang warga emas memohon ditempatkan di mana-mana pusat jagaan orang tua bagi membolehkannya diurus dengan lebih baik.

Habibah Othman, 60, yang tidak mampu bergerak dan terlantar sakit sejak setahun lalu mendakwa anaknya tidak mampu menguruskannya kerana turut mengalami masalah kesihatan.

Dia ditemui lemah tidak bermaya ketika kunjungan sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Langat dan Ketua Umno Cawangan Apartmen Seri Cempaka Council Homes, Mat Sabri Majid dalam sebuah unit rumah di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi di sini, malam kelmarin.

Lebih memilukan, hampir keseluruhan bahagian belakang badannya berkudis dan luka dipercayai kerana tidak dibersihkan dengan sempurna.

“Mak cik nak duduk di rumah kebajikan sebab rasa terseksa tinggal di sini, nak harapkan anak dia pun tak berapa sihat.

“Sekarang badan gatal-gatal dan tak tahan sakit,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai Penyelia Asrama Hospital Melaka, sebelum ini.

Anaknya, Mas Anum Nazhir Ahmad, 33, berkata, bukan mahu mengabaikan ibunya, namun dia tidak berupaya kerana menghidap sakit tulang dan jantung.

Menurutnya, jalan terbaik adalah menempatkan ibunya di mana-mana pusat jagaan orang tua kerana tidak mampu mengurus warga emas itu yang kini tidak dapat bergerak dan hanya terlantar.

“Saya pernah mohon pada JKM untuk tempatkan mak saya saya ke tempat lebih baik, tapi belum ada maklum balas.

“Saya mohon jasa baik jika ada pihak dapat tolong tempatkan mak yang ada kencing manis dan darah tinggi ke rumah warga emas sebab saya juga tak berapa sihat, tak mampu uruskannya serta tak bekerja,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Habibah kemudian dihantar ke Hospital Kajang oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas kudis serta luka dihidapi didapati serius dan memerlukan rawatan susulan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JASIN - Seorang warga emas maut ketika menunggang basikal di Kilometer 30 Selandar-Kesang di sini semalam.
  • SHAH ALAM - Satu pelan khusus kepada warga emas perlu dirangka menjelang ‘negara tua’ tahun 2030.
  • IPOH - Orang ramai terutamanya warga emas perlu menjauhi mana-mana individu tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa pukau atau terpedaya dengan helah hingga mengakibatkan kerugian harta benda.
  • LEGEH - Seorang warga emas di sini hanya bergantung kepada ihsan anak-anak untuk meneruskan kehidupan sehariannya setelah tidak lagi berupaya untuk melakukan sebarang pekerjaan.
  • KUALA PILAH - “Sebagai seorang sahabat, saya bantu mana yang patut," kata Abu Bakar Osman, 64, yang menjaga sahabatnya, Abdul Khalid Abdul Majid, 56, yang kini terlantar di sebuah surau.