• Tak makan saman, premis pelacur diserbu Anggota penguatkuasa DBKL memusnahkan penghadang yang dibina secara haram dalam premis diserbu ketika Operasi Bersepadu Pusat Pelacuran di ibu negara, semalam.
1 /

KUALA LUMPUR - Walaupun sudah beberapa kali dipecahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dalam operasi sejak 2010, pemilik beberapa premis di Jalan Petaling dan kawasan Brickfields di sini terus ingkar dengan membina semula pengadang haram dalam premis mereka, dipercayai untuk kegiatan pelacuran.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu memaksa DBKL melaksanakan operasi secara berterusan mengelakkan aktiviti tidak bermoral itu terus berleluasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Muhamad Irwan Abdullah berkata, pihaknya mendapati sebanyak 10 hingga 15 unit dibina dalam satu-satu premis bertujuan untuk kegiatan pelacuran dipercayai melibatkan warga asing.

Menurutnya, kebiasaannya walaupun diserbu dan dipecahkan, pemilik mahupun penyewa premis berkenaan akan membina semula sekatan dalam premis dan kembali beroperasi.
“Berdasarkan rekod beberapa tahun lepas, operasi dijalankan ke atas premis sama yang kembali beroperasi selang beberapa minggu.

“Kerana itu, DBKL akan terus melakukan pemantauan berterusan dari segi kekerapan operasi kepada dua kali sebulan,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Pusat Pelacuran di Jalan Petaling, di sini, semalam.

Operasi dijalankan secara bersepadu dengan kekuatan 140 anggota dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM)  dan beberapa agensi lain.

Antara lokasi terlibat, Jalan Tun Tan Siew Sin Seng dan Brickfields dan16 premis diserbu. Bagaimanapun, ketika serbuan, semua premis dikosongkan sejak awal.

“Operasi dilaksanakan di sembilan premis di Jalan Petaling, manakala tujuh di Brickfields.

“Tindakan diambil di bawah peruntukan Akta jalan, parit dan bangunan 1974 (Akta 133),  ke atas sambungan membina halangan dan sekatan dalam bangunan yang dibuat tanpa kebenaran Datuk Bandar Kuala Lumpur, di mana kita akan pecah serta robohkan,” katanya.

DBKL juga akan menyiasat dan mengenal pasti pemilik premis bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka termasuk pemilik yang menyewakan premis mereka.