BALAKONG – Calon MCA bagi PRK Balakong Tan Chee Teong tetap memikul tanggungjawab walaupun ada segelintir rakyat mengutuk beliau kerana dianggap menyertai parti yang ‘salah’.

Chee Teong berkata, beliau tidak kisah dengan kecaman itu kerana tanggungjawabnya adalah untuk mewakili suara rakyat di Dun Balakong.

Menurutnya, tujuan saya sertai politik adalah untuk membantu orang. Ia menjadi pendorong untuk saya meneruskan perjuangan.

"Dahulu, senario politik dalam keadaan senang, tetapi sekarang, politik lebih rumit malah ramai sudah hilang keyakinan dengan politik,” katanya.

Menurutnya lagi, ada masyarakat menganggap politik sebagai satu ‘penipuan’.

“Sebenarnya, politik pada asalnya adalah untuk membantu dan membangunkan masyarakat,” katanya.

Chee Teong atau lebih mesra dengan panggilan Ah Teong berkata, beliau telah bersedia menghadapi cabaran dalam PRK Balakong ini.

“Saya melawat ke semua tempat untuk mendengar suara penduduk. Ini bukan soal parti politik, tetapi tentang kebajikan penduduk.

“Setiap kali saya melihat orang bertengkar, saya berasa sedih. Mengapakah kita tidak boleh bertanding, sambil menghormati satu sama lain? Saya percaya, kita boleh mewujudkan masa depan negara yang cerah,” katanya.

Beliau berkata, sistem dua parti, wajib ada pembangkang yang kuat.

“PH mempunyai 90 peratus kerusi selepas PRU 14. Selama dua dekad, saya kesal melihat semua orang saling bertengkar dan sudah lupa tujuan asal politik.

"Misi saya adalah untuk membuat kebaikan dan membantu semua orang,” katanya.

Chee Teong merupakan anak tempatan berkata, beliau sanggup menyahut cabaran.

“Saya jamin untuk berusaha menjadi sebuah pembangkang yang konstruktif. Saya akan berani bersuara dan memastikan sistem semak dan imbang kerana inilah, tanggungjawab sebuah pembangkang.

"Saya percaya bahawa hanya pembangkang yang mampu melaksanakan tugas tersebut,” katanya.

Katanya lagi, setiap suara rakyat adalah penting bagi dirinya.

“Setiap orang memerlukan bantuan daripada orang lain. Saya tidak boleh melakukan ini sendiri.

"Politik adalah perjuangan semua rakyat. Jika saya berjaya menjadi Adun, saya akan berusaha membangunkan kawasan Balakong. Saya sudi menjadi suara anda dan berkhidmat untuk anda,” katanya.