SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berpuas hati dengan kejayaan dicapai kontinjen pada Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2018 walaupun tidak menjadi johan keseluruhan.

“Tahniah kepada pasukan kontinjen Selangor pada kejohanan Sukma kali ini. Syabas kepada semua pemenang dan para pegawai terlibat.

“Walaupun tidak berjaya menjadi johan keseluruhan, namun kutipan 182 pingat adalah yang terbanyak,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada tuan rumah, Perak serta johan keseluruhan iaitu Terengganu yang memungut pingat emas terbanyak sebanyak 56 pingat, 51 (perak) dan 53 (gangsa).

Sementara itu, dalam kejohanan Sukma kali ini, Selangor menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang sebanyak 47 pingat emas, 68 (perak) dan 67 (gangsa).