$entry.content.caption.value
SYARIKAT Bekalan Air Selangor (Syabas) bertindak memotong bekalan air di Taman Perumahan Pandan Utama Fasa 2 selepas didapati penduduk memperoleh bekalan secara tidak sah menerusi sambungan haram daripada paip sedia ada Syabas bersaiz 300 milimeter yang terletak di Jalan Cempaka 1 sejak 2010.
Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, tindakan mengambil air secara tidak sah adalah menyalahi undang-undang Akta Industri Perkhidmatan Air, Seksyen 123 (1).
“Pada 15 Februari 2012, pihak Syabas menutup ’sluice valve’ pada paip utama yang menyalurkan air ke kawasan tersebut.
“Pihak Syabas berhak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya mendapati seseorang individu atau syarikat yang mengambil air secara haram dari paip milik Syabas.
“Selepas pemotongan tersebut, pihak Syabas mengadakan mesyuarat bersama wakil penduduk serta pemaju bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik kepada isu berkenaan,” katanya.
Menurutnya, hasil daripada mesyuarat diadakan, pihak pemaju diminta untuk menjelaskan bayaran kepada Syabas bagi penggunaan air secara tidak sah selama 17 bulan.
Beliau berkata, Syabas turut menasihatkan pemaju supaya menyiapkan pembinaan sistem bekalan air kekal bagi membolehkan Syabas menyalurkan bekalan air ke kawasan perumahan tersebut.
Abdul Halem berkata, kemudahan infrastruktur bekalan air kekal seperti tangki air, rumah pam dan tangki sedut luaran perlu disediakan oleh pemaju terlebih dahulu supaya pihak Syabas boleh membekalkan air ke perumahan berkenaan.
“Oleh kerana sistem bekalan air kekal masih belum disiapkan oleh pemaju sehingga kini, maka pihak Syabas tidak dapat membekalkan air ke kawasan tersebut.
“Pada 5 Mei 2009, pihak pemaju mengemukakan permohonan bekalan air sementara bagi Taman Perumahan Pandan Utama Fasa 2.
“Namun, pihak Syabas tidak dapat mempertimbangkan permohonan tersebut kerana kegagalan pemaju menyediakan infrastruktur seperti yang dikehendaki. Bagaimanapun, kawasan tersebut telah mula didiami walaupun tiada bekalan air,” katanya.
Penduduk rasa terpedaya
Kesan daripada kejadian itu, hampir 600 pengguna di 160 unit rumah kedai lima tingkat dan 20 unit kedai di situ, terjejas sejak lebih seminggu lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk, Hamzani Che Hussain berkata, masalah pemaju dengan Syabas menyebabkan penduduk menjadi mangsa keadaan.
Menurutnya, disebabkan pemaju tidak menyediakan tangki air, kehidupan seharian penghuni di sini bertambah sukar.
“Penduduk sangat kesal dengan keadaan ini kerana merasakan terpedaya sewaktu membeli rumah disebabkan masalah bekalan air yang belum selesai.
“Apabila timbul kejadian begini, timbul tanda tanya penduduk bagaimana pemaju memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki (CF) sebelum ini.
"Persoalannya lagi bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memberikan kelulusan CF tersebut sedangkan bekalan air tiada,” katanya.
Hamzani berkata, sewaktu penghuni memasuki rumah pada 2007, beliau dimaklumkan rumah sudah mempunyai CF.
Pada ketika itu, beliau ada juga bertanya kepada pemaju mengapa meter paip tiada dan jawapan yang diberi adalah ia akan dipasang kemudian.
“Apa yang menghairankan lagi, cukai pintu dibayar oleh penghuni setiap tahun tetapi infrastruktur dan kelengkapan rumah masih tidak lengkap.
“Kalaulah penghuni tahu kejadian ini akan berlaku sehingga menimbulkan masalah kepada kehidupan seharian kami, sudah tentu kami tidak membeli rumah ini,” katanya.
Menurutnya, persatuan penduduk juga memohon kepada Syabas supaya mempertimbangkan keadaan penghuni yang berhadapan kesukaran menjalankan kehidupan seharian.
“Penghuni tidak pernah mengelak membayar bil air tetapi sukar untuk berbuat demikian apabila meter air pun tiada,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohon selesai masalah
Penduduk, S Arokiasamy berkata, masalah yang berlaku antara pemaju dan Syabas seperti menganiaya penghuni yang tidak bersalah dalam perkara ini.
“Sudah seminggu lebih tiada bekalan air. Berapa lama lagi penghuni di sini harus bertahan?.
“Pemaju mahupun Syabas harus fikirkan penyelesaiannya dengan segera," katanya.
Penghuni lain, Rizal Ghazali pula berkata, dia sudah tinggal di sini sejak tiga tahun dan ia kali pertama berlaku.
“Sememangnya timbul tanda tanya bagaimana kunci rumah diberi sedangkan masalah bekalan air belum selesai.
“Bayangkanlah setiap hari terpaksa turun dan naik tangga mengambil air di bawah dan ada penghuni yang tidak dapat bekerja,” katanya.
Sementara itu, Siti Mariam Said Zambri memohon agar masalah ini diselesaikan dengan segera.
“Kasihan kepada kami yang menanggung atas kesilapan orang lain. Setiap hari saya menggunakan kudrat empat kerat mengambil air di bawah rumah.
“Semua aktiviti seperti hendak menyediakan keperluan keluarga pun terbantut,” katanya.
Sementara itu, pihak Syabas menyediakan empat tong air bagi membekalkan penghuni di sini.
Pada masa sama Sinar Harian cuba menghubungi wakil pemaju tetapi tidak dapat dihubungi berikutan talian berada di luar kawasan.





