• Mat Saman (kanan) memberi penjelasan kepada penduduk. Mat Saman (kanan) memberi penjelasan kepada penduduk.
1 /

AMPANG - Penduduk Pangsapuri Mesra Ria, Taman Pandan Mesra dan Taman Dagang Jaya menerima penjelasan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berhubung krisis bekalan air dihadapi mereka kebelakangan ini di Pejabat Dewan Undangan Lembah Jaya di Taman Dagang Jaya, di sini, semalam.

Ketua Pejabat Wilayah Syabas Wilayah Gombak, Mat Saman Mat Soom berkata, punca krisis air di Kampung Ampang Campuran, Pangsapuri Mesra Ria dan Taman Dagang Jaya seriusnya sejak Mac tahun ini selepas berlakunya banjir di Lembah Jaya Utara.

Menurutnya, punca utama isu ini berlaku apabila Loji Rawatan Air (LRA) Ampang Intake tidak dapat membekalkan air terawat mencukupi berikutan kekeruhan air berlaku setelah faktor perubahan cuaca yang mendadak kebelakangan ini.

“Keadaan sungai dan fenomena Monsun Timur Laut pada hari ini mengakibatkan perkara luar jangka berlaku seperti hujan lebat yang luar biasa. Ini menyebabkan kekeruhan dan kekotoran air sehingga berlakunya kadar bacaan air yang tinggi apabila air bercampur dengan tanah di mana loji sukar untuk merawat air.

“Akhirnya, keadaan ini menyebabkan LRA Ampang Intake tidak mempunyai kapasiti untuk merawat air dan terpaksa mengurangkan bekalan air terawat untuk kegunaan penduduk,” katanya pada sesi pertemuan berkenaan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz; Ketua Penolong Pengarah Luas, Nor Zamri Sondor; Setiausaha Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Mesra Ria, Sulaiman Noh.

Mat Saman berkata, hujan yang luar biasa di empangan pada hari ini juga dicatatkan menjangkau 200mm berbanding 8 hingga 20mm dari kebiasaan hujan.

Katanya, kadar air terawat yang diproses kurang daripada jumlah yang sepatutnya dibekalkan kepada penduduk menyebabkan kawasan tinggi seperti Pangsapuri Mesra Ria dan Taman Dagang Jaya berhadapan masalah penerimaan air.

“Bagaimanapun, Syabas kini membuat beberapa perancangan dan cadangan untuk mengatasi masalah penduduk antaranya membaiki tangki air di Tasik Campuran 1 dan 2 supaya mempunyai simpanan air mencukupi untuk penduduk di Taman Pandan Mesra dan Taman Dagang Jaya sekiranya berlaku gangguan air.

“Kedua, Syabas akan mengawal bekalan air ke Ulu Pudu untuk kegunaan penduduk di sini selain mendapatkan bekalan dari loji di Wangsa Maju,” katanya.

Menurutnya, apabila loji menghadapi masalah, untuk menstabilkan semula operasi loji mengambil masa 3 hingga 4 hari dan ditambah pula Syabas turut berhadapan masalah tekanan angin di kawasan tinggi yang mengganggu aliran air yang baik.

Kerajaan Negeri peruntuk RM200,000

Nor Zamri berkata, LRA Ampang Intake mula berhadapan masalah sejak Mac tahun ini di mana loji itu dapat membekalkan air sekitar 20 hingga 25 juta liter sehari.

Menurutnya, apa yang dihadapi sekarang adalah berpunca dari faktor alam semula jadi dan disebabkan itu, LRA Ampang Intake terpaksa ditutup beroperasi beberapa kali.

“Luas membuat tinjauan di mana tiada pembangunan dibangunkan  di belakang loji itu tetapi berlaku runtuhan tanah sejak hujan pada Mac.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri baru-baru ini memperuntukkan kira-kira RM200,000 untuk mengatasi pemulihan tanah di mana 12 lokasi runtuhan dikenal pasti menyebabkan kekeruhan air berlaku,” katanya.

Katanya, dengan pemulihan itu nanti, diharapkan masalah kekeruhan air dapat dikurangkan, meningkatkan proses air terawat dan mengurangkan gangguan operasi serta penutupan loji.

Menurut rekod  Luas, sebanyak 52 kali kekeruhan berlaku pada April tahun ini, 24 kali pada Mei, 23 kali pada Julai, 21 kali pada Ogos, 17 kali pada September, 6 kali pada Oktober dan 2 kali pada November yang memaksa loji terpaksa ditutup beroperasi.

Masalah air sejak tahun 2004

Penduduk Pangsapuri Mesra Ria, Taman Pandan Mesra masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Syabas dan Luas berikutan masalah bekalan air timbul sejak tahun 2004 lagi.

Setiausaha JMB, Sulaiman Noh berkata, timbul  krisis air ini sejak 2004 lagi dan bukannya berlaku pada tahun ini seperti dijelaskan.

“Setiap  hari dan bulan, penduduk berhadapan masalah sama iaitu tekanan air rendah dan tidak faham mengapa ini berlaku tanpa penyelesaian  walaupun telah disiarkan beberapa kali dalam media.

“Apabila penduduk membuat aduan telefon  kepada Syabas, operator  Syabas akan memaklumkan kepada penduduk di mana tiada masalah bekalan air yang berlaku.

“Kesannya, pihak pengurusan pangsapuri akan menjadi mangsa kepada isu ini dan terpaksa menyelesaikan masalah dan menjawab pertanyaan penduduk sekalipun berpunca dari pihak lain,” katanya.

Pada masa sama, katanya, JMB mengalami kerugian apabila panel pam tangki pangsapuri terbakar dan lif  turut  mulai rosak apabila penduduk mengangkut air dengan lif di mana ada yang tertumpah di dalamnya.

Menurutnya, bagaimanapun, penduduk  berterima  kasih di atas penerangan dan penjelasan tersebut tetapi masih terkilan kerana mengambil masa yang lama untuk mengadakan sesi pertemuan seperti ini.

Adun harap selesai segera

Sementara itu, Khasim berkata, penjelasan Syabas dan Luas diharap dapat membantu penduduk yang berdepan masalah bertahun lamanya.

“Masalah ini perlu diatasi kerana manusia sangat bergantung dengan sumber air untuk menjalani kehidupan seharian seperti hendak melakukan ibadat,” katanya.