SHAH ALAM - Kerja-kerja pembaikan paip dasar laut yang pecah di Terusan Bagan  kini giat dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Dalam satu kenyataan Syabas memaklumkan, paip berkenaan membekalkan air ke Pulau Ketam, Bagan Teochew dan Sungai Lima.

“Paip pecah dasar laut ini akan dinaikkan untuk digantikan dengan paip baharu sepanjang 100 meter jenis ‘high density polyethylene’ (HDPE) bersaiz 400 milimeter .

“Untuk sementara waktu, bantuan bekalan air akan terus dihantar kepada penduduk di kawasan terlibat, pihak kami menyasarkan kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan dalam masa lima hari,” katanya.

Untuk maklumat dan status terkini mengenai gangguan bekalan orang ramai boleh merujuk ke laman web www.syabas.com.my atau aplikasi telefon bimbit pintar ‘Air Selangor’atau layari laman Facebook Air Selangor.

Terdahulu Syabas yang merupakan ahli Kumpulan Air Selangor dalam kenyataan di laman portalnya memaklumkan insiden paip pecah berlaku Rabu lalu.

Punca kejadian masih dalam siasatan namun Syabas dilapor sudah menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan kepada penduduk terjejas.

Syabas dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan tempoh masa pembaikan dan pemulihan tidak dapat ditentukan namun akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.