SUNGAI BULOH - Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan pemandu Grab pada 23 Jun lalu melakukan tindakan terbabit bagi mengelak daripada membayar caj perkhidmatan tersebut kepada mangsa terlibat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, buat masa ini, kertas siasatan kes ini telah dihantar kepada pihak pendakwa raya bagi melihat semula keterangan suspek terlibat.

"Motif kejadian itu saya tak boleh dedahkan secara terperinci.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab ditemui mati dipercayai dibunuh]

"Namun polis tak menafikan kemungkinan ada unsur-unsur untuk elak dari membayar dan juga mungkin (suspek) dalam keadaan tidak waras pada waktu kejadian," katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, mangsa berkenaan, Aiman Nosri, 27, yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, ditemui dalam keadaan terlingkup dengan bahagian kepala mengenai lantai kenderaan berkenaan, manakala kakinya di atas.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas kerana dipercayai ditekup menggunakan baju T miliknya sendiri.

Pemeriksaan lanjut pada kereta milik mangsa mendapati dompet serta satu telefon bimbitnya hilang.