KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berangkat menziarahi Makam Diraja Klang yang terletak bersebelahan Istana Alam Shah.

Istiadat berkenaan adalah antara program yang disusun bersempena dengan sambutan ulang tahun hari Keputeraan baginda yang ke-72 yang akan disambut pada 11 Disember depan.

Baginda tiba di makam berkenaan kira-kira jam 10.10 diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Ketibaan baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beberapa Exco Selangor, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, pembesar negeri dan anggota kerabat diraja Selangor.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menyiram air mawar di makam berkenaan yang turut menempatkan makam ayahandanya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Majlis tahlil dan bacaan doa turut diadakan yang diketuai Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Baginda dan anakandanya meluangkan masa kira-kira 30 minit di makam berkenaan sebelum berangkat pulang jam 10.45 pagi.