PUCHONG – Sayu hati melihat keadaan sepasang suami isteri bersama enam anak tinggal dalam sebuah stor tayar ‘berlangitkan’ bumbung bocor dan berlubang sejak beberapa bulan lalu.

Lebih menyedihkan dua daripada enam anak pasangan ini tidak ke sekolah akibat kesempitan wang selepas bapa mereka dibuang kerja sebagai pemandu van keselamatan dua bulan lalu.

Jamilah Ibrahim, 37, berkata, kehidupannya menjadi agak daif selepas suaminya, Mohd Rasul Mohamad dibuang kerja dan kini hanya bergantung kepada pendapatannya bekerja di sebuah kilang di Shah Alam.

Dia dan anak-anaknya sebelum ini menghuni sebuah rumah pangsapuri namun akibat gagal membayar tunggakan sewa, dia diusir keluar oleh pemilik rumah.

Suaminya kemudian membawa dia dan anak-anak menginap sebuah stor tayar dengan keadaan ruang berbentuk seperti kotak dan dikenakan sewa sebanyak RM400 sebulan.

Menurutnya, dia sudah beberapa kali membuat permohonan kepada agensi berkenaan namun  tiada apa-apa bantuan diterima keluarganya kecuali pada hari raya yang lalu.

“Mungkin saya tak dapat bantuan kerana ada beli kereta sebelum ni tapi itu masa suami bekerja…kereta pun pernah kena tarik…kami perlu kereta untuk hantar anak ke sekolah dan hospital jika sakit.

“Yang jadi masalah kerana saya juga perlu tanggung hutang pinjaman peribadi bank hampir RM1,100 sebulan, sekarang ni saya bingung rumah sewa diduduki kini dah tiga bulan tertunggak…tak mampu nak bayar,”katanya yang bimbang pemilik rumah itu turut menghalaunya keluar jika bayaran sewa gagal dilunaskan.

Samad memberi bantuan kewangan segera dan keperluan makanan kepada keluarga Jamilah.

Jamilah berkata, dia hampir menangis apabila anak sulung perempuan yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam langsung tidak mempunyai kelengkapan lengkap untuk ambil periksa.

“Pensil dan alat tulis lain semua saya tak mampu beli, anak-anak saya selang-seli tak ke sekolah dan memang mereka tak akan pergi langsung kalau tak ada duit…malang datang bertimpa-timpa….sebenarnya saya tak mahu keluar kisah di akhbar tapi bila mengenangkan anak-anak, saya terpaksa.

“Saya hanya nak cari bantuan persekolahan dan  selesaikan tunggakan sewa, kalau boleh cari rumah lebih selesa berdekatan sekolah untuk anak-anak berusia 12,10,8,7, 2 dan 11 bulan tinggal,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bistari, Kampung Seri Aman di sini.

Jamilah berkata, suaminya cuba mencari kerja namun dia buntu jika suami diterima bekerja dengan gaji tidak seberapa siapa yang akan menjaga anak-anaknya termasuk seorang bayi di rumah.

“Kos pengasuh bukannya murah sekarang, saya pun tak dapat berfikir…sekarang dapat gaji ibarat ‘tutup sana…sini berlubang…tutup sini…sana berlubang’,” katanya.

Prihatin dengan nasib menimpa Jamilah, Bendahari Bersatu Puchong, Samad Kassim tampil menghulur bantuan makanan dan wang tunai kepada keluarga itu.

Samad mendakwa terkejut dalam keadaan negara sudah 60 tahun merdeka masih ada rakyat hidup dalam rumah yang didakwanya terlalu usang dan uzur.

“Sedih lihat keadaan anak-anak masih kecil tak bersekolah dan tinggal dalam rumah yang bocor sana sini…suami Jamilah beritahu hanya tempat dia letakkan tilam tak kena titisan hujan yang lain semuanya basah.

“Saya harap agensi terlibat bantu keluarga ini sekurang-kurangnya sediakan mereka rumah yang selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Divisyen Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Datin Norajun Ainun Mohd Hashim dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian berkata, LZS menghargai maklumat disalur masyarakat berhubung  kesusahan dihadapi keluarga Jamilah.

Pihaknya meluluskan bantuan bulanan kepada keluarga itu bermula September ini sebanyak RM500 sebulan.  

“Kami ambil berat berhubung kesulitan dihadapi keluarga tersebut dan akan laksanakan siasatan lanjut mengenai keperluan persekolahan anak-anaknya,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkankan sumbangan menerusi akaun Maybank di atas nama Mohd Rasul Mohamad di nombor akaun  162777179808.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - “Orang tak tahu apa yang saya lalui. Saya bukannya minta derma, tapi hanya jual barang untuk tampung kos perubatan anak sakit."
  • BUTTERWORTH - Seorang pesakit di Kampung Bagan Tambang, Teluk Air Tawar di sini berharap dapat pulih seperti sedia kala bagi meneruskan perniagaan yang diusahakan untuk menampung kehidupannya sekeluarga.
  • KOTA BHARU - Hanya dia yang tahu sedihnya hati tatkala diejek rakan sebaya kerana dihimpit kemiskinan hingga sering mengalirkan air mata.
  • TUMPAT - Lauk betik celur jadi menu hidangan tujuh beranak yang tinggal di sebuah bangsal buruk tanpa bekalan elektrik di Kampung Hutan Jambu, Kok Pasir, di sini.
  • JERANTUT - Malang buat seorang kanak-kanak di Felda Kota Gelanggi 1, di sini, yang mengalami kecacatan kekal akibat disambar api ketika cuba bermain dengan pelita dalam kejadian yang berlaku pada hari raya kelima yang lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.