KUALA LUMPUR - Bekas kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus menolak Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan mahu perubahan pentadbiran dilakukan.

Bekas Exco Pemuda Bersatu, Muhd Syazwan Ahmad Zainal, berkata, Pakatan Harapan kini berada dalam keadaan kucar kacir hanya disebabkan oleh Mahathir yang mahu kembali ke Putrajaya.

"Anwar Ibrahim akan bebas tak lama lagi. Beliau ada ketokohan dalam pentadbiran dan beliau pernah paling rapat dengan Tun dan tahu apa yang telah dilakukan Tun terhadap politik negara.

"Masa pentadbiran Tun dulu, kita tahu siapa yang jadi penyumbang kepada politik beliau. Jadi jika beliau dapat kembali ke Putrajaya, beliau akan naikkan semula kroni-kroni ini.

"Lihat apa yang berlaku zaman reformis dulu di mana penyokong-penyokong Anwar di tahan. Golongan ini telah menjauhkan diri daripada Pakatan Harapan.

"Apabila mereka jauhkan diri, maka undi boleh hilang," katanya dalam sidang media di pekarangan Hospital Rehabilitasi Cheras, hari ini.

Kira-kira 200 Pemuda Bersatu berhimpun secara aman sambil memegang sepanduk menyatakan penolakan terhadap Mahathir.

Selepas kira-kira 45 minit berhimpun, Muhd Syazwan menyerahkan memorandum kepada  Setiausaha Cabang Pakatan Rakyat Bandar Tun Razak, Hanafiah Md Amin untuk perhatian Anwar.