KUALA LUMPUR - Yayasan Basmi Kemiskinan menyasarkan 400 keluarga miskin untuk menerima bantuan menerusi Program Sinar Kasih Ramadan bagi tahun ini.

Pengerusinya,  Datuk Zainal Abidin Sakom, berkata, kesemua keluarga berkenaan telah dikenal pasti bagi menerima bantuan berkenaan.

Menurutnya,  bantuan berjumlah RM600 akan diberikan untuk penyediaan keperluan berbuka dan bersahur sepanjang Ramadan keluarga terpilih.

"Program ini merupakan perlaksanaan kali ke 10 bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai, sektor kerajaan, dan sektor korporat untuk memberi sedekah kepada keluarga miskin terpilih dari seluruh negara.

"Sedekah yang diserahkan kepada YBK akan diagihkan kepada keluarga termiskin berdasarkan keperluan pendapatan garis kemiskinan (makanan) iaitu RM600," katanya kepada media sempena pelancaran Program Sinar Kasih Ramadan, di sini, hari ini.

Tambah Zainal, sumbangan yang diberikan akan mula diagihkan selewat-lewatnya tiga hari sebelum bermula Ramadan dan pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyumbang.

"Sekiranya terdapat keluarga yang memerlukan juga boleh salurkan maklumat kepada kami. Sumbangan yang melebihi jumlah sasaran boleh diserahkan kepada keluarga lain yang memerlukan.

"Sumbangan boleh disalurkan dalam bentuk cek atau wang tunai terus ke akaun Bank Islam YBK (12038010002132) dan setiap sumbangan akan mendapat resit pengecualian cukai," katanya.

Untuk rekod, sejak 2002 hingga 2017, seramai 2,700 keluarga telah dibantu dengan nilai RM1.3 juta menerusi program sama.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi YBK di talian 03-78750036 atau 013-9630100.