BALAKONG - Keputusan PRK Dun Balakong telah diduga sejak daripada awal kempen kerana kawasan tersebut merupakan kubu kuat PH.

Masyarakat di Dun Balakong masih yakin dan selesa terhadap PH, pada dasarnya tidak ada sebab pengundi Cina membuat perubahan dalam pendirian mereka walaupun MCA dilihat cuba membangkitkan isu kegagalan PH menunaikan janji manifesto 100 hari.

Semasa PRU 14 lalu, Dun tersebut menyaksikan pertem­bungan tiga penjuru antara PH, BN dan Pas. Ini telah menyebabkan undi ketiga-tiga parti itu berpecah.

PRK Dun Balakong pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara MCA yang meletakkan calon iaitu seorang ahli perniagaan, Tan Chee Teong dan PH memilih Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang, Wong Siew Ki sebagai calon parti itu.

PRK Dun Balakong juga mencipta sejarah tersendiri calon MCA menggunakan logo parti itu dan Siew Ki menggunakan logo Harapan.

Malah PRK Dun Balakong turut mencatatkan peratusan keluar mengundi terendah dalam sejarah PRK negara setakat ini iaitu hanya 43 peratus.

Dalam kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood, sebelum ini, peratusan keluar mengundi paling rendah dicatat ialah ketika PRK Dun Penanti di Pulau Pinang (pada 31 Mei 2009) iaitu sebanyak 46 peratus.

“Dun Balakong mencatatkan peratusan paling rendah dalam sejarah PRK,” katanya.

Katanya, walaupun SPR giat membuat hebahan meminta pengundi keluar mengundi, cara itu dilihat tidak berkesan.

“Sebenarnya kita pilih tarikh mengundi hari ini sebab kita mahu pengundi yang duduk di luar kawasan Balakong pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi.

“Ada empat hari cuti mingguan dan awam (Sabtu sehingga Selasa) yang mana sepatutnya pengundi boleh luangkan masa hari ini untuk mengundi sebelum mereka bercuti ke mana-mana... tetapi jumlah yang keluar mengundi masih rendah,” katanya.

Othman berkata, sikap pengundi sendiri yang tidak minat untuk keluar mengundi selain berpendapat undi mereka tidak akan mengubah senario politik negara, mungkin antara faktor peratusan keluar mengundi Dun itu rendah.

Terlalu selesa punca tidak keluar mengundi

Sementara itu Adun Balakong yang baharu, Siew Ki berkata terdapat beberapa faktor yang menyebabkan majo­riti di PRK Dun itu rendah.

“Segelintir rakyat sudah selesa dengan keputusan PRU14 lalu dan tidak akan ada perubahan drastik sekiranya mereka tidak turun me­ngundi.

Menurutnya cuti panjang dan cuti perlepasan am, turut menyebabkan pengundi yang sudah keluar bercuti.

“Segelintir pengundi telah pergi bercuti disebabkan cuti yang panjang. Saya tidak kecewa dengan peratusan mengundi rendah, saya dan pasukan telah sudah cuba sedaya upaya, saya akan bekerja lebih gigih untuk rakyat Di Dun Balakong,” katanya.

Siew Ki menang di PRK Balakong setelah menewaskan pencabarnya Chee Teong dengan majoriti sebanyak 18,533.

Siew Ki mendapat sebanyak 22,508 undi manakala Chee Teong hanya memperoleh sebanyak 3,975 undi.

Faktor peratusan undi rendah

Dalam perkembangan sama, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga penganalisis politik, Prof Dr Siva­murugan Pandian berkata, terdapat banyak faktor yang menyumbang peratusan undi rendah.

“Saya melihat tidak ada isu besar pada PRK Balakong kerana apabila ada isu sensasi maka ramai hendak keluar  mengundi, walaupun ada isu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan janji manifesto 100 PH dimainkan oleh MCA.

“Pengundi seolah-olah tidak kisah dengan isu macam itu memandangkan matlamat mereka untuk menjatuhkan BN sudah dicapai dalam PRU14 lalu, pengundi juga sudah muak dengan tempoh PRK yang dekat dengan PRU pada Mei lalu,” katanya.

Pandian berkata, MCA meng­gunakan logo sendiri, barangkali untuk ujikaji penerimaan masya­rakat terhadap parti berkenaan.

“Mereka juga mahu melihat ahli sendiri akan mengundi parti tersebut, namun eksperimen ini dilihat gagal kerana ahli parti tersebut berkemungkinan tidak keluar mengundi untuk memberi sokongan kepada calon parti tersebut,” katanya.

Beliau berkata, selain itu berkemungkinan ada pengundi yangh protes kerjasama Umno/Pas dan MCA/Pas, walaupun atas platform pembangkang.

“Tempoh kempen yang panjang iaitu selama 21 hari...ia meletihkan pengundi dengan isu politik yang dibangkitkan oleh calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata, ada juga pengundi merasakan tidak wujud keperluan untuk keluar mengundi, memandangkan ia tidak akan menjejas kedudukan PH dan Dun di Selangor.

“Salah satu cabang besar demokrasi adalah hak mengundi yang perlu dilaksanakan rakyat, kita harus bertanggungjawab agar pemimpin yang dipilih adalah yang paling berkelayakan, walau­pun tidak ubah land­skap politik, ia wajar terus diraikan,” katanya.