PETALING JAYA - Polis digesa supaya melakukan siasatan terhadap pihak yang menawarkan lesen terbang kepada orang awam melalui rangkaian media sosial khususnya Facebook.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pengangkutan, Chung Yi Fan berkata, beliau membuat laporan tersebut selepas mendapati terdapat banyak pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan lesen terbang dengan harga mencecah ribuan ringgit.

"Melalui pembelian lesen ini, individu yang membelinya didakwa tidak perlu mengikut sebarang ujian mahu pun kursus melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Dan kebetulan juga terdapat laporan oleh media tempatan mengenai perkara ini dan disebabkan itulah kami tampil untuk membuat laporan ini kepada polis," katanya ketika sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sebentar tadi.

Mengulas lanjut mengenai laporan itu, Yi Fan berkata, tindakan menjual lesen terbang ternyata bertentangan dengan undang-undang di negara ini khususnya melibatkan Akta Pengangkutan Jalan.

Melalui laporan ini, beliau berharap agar pihak berkuasa dapat mengesan individu bertanggungjawab berkenaan bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan selepas ini.

"Kita perlu mencari pihak bertanggungjawab sama ada isu ini melibatkan sindiket haram bersifat penipuan, pemalsuan dokumen atau melibatkan perbuatan rasuah," katanya.

Dalam pada itu, Yi Fan berkata, pihaknya mula memberi perhatian terhadap isu itu selepas mendapat aduan daripada orang awam yang menggesa agar kementerian melihat kepada permasalahan ini.

Tambah beliau, pihaknya juga menyerahkan isu tersebut sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan sama ada terdapat campur tangan daripada penjawat awam dalam permasalahan ini.

"Saya juga dimaklumkan bahawa JPJ akan membuat kenyataan pada minggu hadapan. Dan kita juga sedang dalam pertimbangan untuk membawa perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ini," katanya.