KUALA SELANGOR - Seramai 50 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Daerah Kuala Selangor membuat laporan polis terhadap kenyataan Presiden Warisan Sabah (Warisan) yang didakwa memperlekeh kredibiliti anggota Rela.

Ketua Platun Rela, Muhammad Faizul Sulaiman menjelaskan, seramai 50 anggota termasuk berpangkat bersekutu dan kehormat tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, petang kelmarin.

Menurutnya, laporan polis ini turut mendesak permohonan maaf Datuk Seri Shafie Apdal secara terbuka terhadap penghinaan yang ternyata menyentuh sensitiviti anggota Rela yang bertugas tanpa mengira masa, tenaga dan kudrat.

“Laporan polis ini sebagai tanda bantahan terhadap rakaman video kenyataan berbaur penghinaan kepada anggota Rela yang kononnya tidak pandai menggunakan senjata senapang, tidak tahu menembak dan tidak belajar guna bom.

“Kenyataan itu turut memperlekehkan kredibiliti Rela yang dikatakan hanya pandai menjaga trafik dan kenduri kahwin saja,” katanya mewakili anggota Rela Daerah Kuala Selangor.

Hadir sama, Penolong Pesuruhjaya Kanan Rela (PPjKR) (Kehormat) Datuk Mohamed Rafi Mokhtar, Penguasa Rela (PgR) (Bersekutu) Razali Sanusi dan PgR (Bersekutu) Sharip Ramli.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisul berkata, setiap anggota Rela yang dilantik bertugas diwajibkan menghadiri kursus asas yang terdiri pelbagai modul pengurusan dan pengendalian senjata api.

“Anggota Rela yang dilantik juga terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum bahkan ada juga bekas tentera yang sudah mahir menggunakan senjata api.

“Tujuan laporan polis ini juga mahu Shafie menarik semula kenyataan yang bersifat penghinaan terhadap keupayaan anggota Rela dalam membantu menjaga keamanan dan keselamatan negara.

“Lagi sekali kami memohon supaya kenyataan maaf terbuka bagi membersihkan imej Rela yang tercalar dan berharap kejadian seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, bukan sahaja anggota Rela Daerah Kuala Selangor bahkan anggota Rela daerah lain turut bangkit menyatakan bantahan secara aman terhadap kenyataan bersifat penghinaan itu.

Kenyataan Presiden Warisan itu yang mempersoalkan kredibiliti dan memperlekeh peranan anggota Rela yang ditugaskan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).

Menerusi sebuah video berdurasi 21 saat yang tular baru-baru ini, Shafie mempertikaikan tindakan menempatkan anggota Rela yang tidak mahir dalam mengendalikan senjata di Esszone.