SHAH ALAM - Keramat #QuranHour 4.0 menjadi platform mengukuhkan keluarga dengan al-Quran, solat dan infak (QSI) di Taman Tasik Datuk Keramat, 25 Mac ini.

Program berinteraksi dengan al-Quran di Keramat #QuranHour 4.0 yang bermula jam 9.30 pagi menggalakkan peserta membawa al-Quran terjemahan untuk kegunaan dalam sesi berkenaan.

Acara dimulakan dengan pertandingan #QSI Explorace yang dikendalikan oleh Rumah Ngaji dan peserta Training of Trainers Intensive with Quran (TOTIQ) seawal jam 8 pagi.

 #QSI Explorace menyasarkan 30 peserta yang berusia antara 6 hingga 16 tahun bertujuan memberi pendedahan mengenai al-Quran, solat dan infak melalui baca, faham dan amal di sepanjang pencarian dan penyelesaian misi tersebut.

Mereka juga berpeluang mendengar dan mengikuti bacaan al-Quran digemakan oleh enam pembawa panji Surah Al-Hujurat. Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif Al Ammar Resources Sdn Bhd, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman; selebriti, Raqib Majid; aktivis sosial, Kumaran Nagapa; Da’i Hakim; Qari Umar Hasfizal, dan Qari Junior Harith.

Pada majlis yang sama, seramai 200 asnaf akan menerima sumbangan 'Bag of Compassionate' yang mengandungi keperluan asas dapur.

Antara tetamu yang hadir ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Affendi Zahari dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Keramat #QuranHour akan diadakan tiga bulan sekali bermula Jun ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai Keramat #QuranHour 4.0 dan penyertaan #QSI Explorace, sila hubungi 019-6500763 dan 017-7557828.