AMPANG – Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, semalam, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung tindakan gimiknya iaitu menghayun penukul untuk memecahkan sebuah meja minggu lalu yang didakwa seperti samseng dan bertindak di luar batasan undang-undang.

Jamal mendakwa tindakan gimiknya itu membuatkan pengusaha judi atau individu yang melindungi tauke judi berasa gusar terhadap pihaknya yang mungkin menyerang premis judi dengan menggunakan penukul besi.

“Saya melihat tanggapan mereka yang mendakwa kami ini seolah-olah ganas adalah tidak tepat. Kami adalah pemimpin masyarakat, kami adalah pengantara suara masyarakat dan pesanan rakyat kepada Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali harus menolong rakyat supaya tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa dan kaki judi.

“Batalkan atau beku lesen Pusat Hiburan Keluarga kerana ada pihak dipercayai menyalahgunakan lesen itu dengan membuka premis judi,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Jamal berkata, beliau pernah membuat tinjauan secara bersendirian ke sebuah premis judi di Ampang.

“Tindakan licik penjaga premis berkenaan segera menukar paparan mesin judi kepada mesin permainan setelah mendapati kehadiran saya,” katanya.

Beliau turut dimaklumkan, beberapa pihak dan individu telah membuat laporan polis terhadapnya yang mendakwa konon dirinya menakutkan, samseng dan bertindak di luar batasan undang-undang.

Baru-baru ini, Jamal yang juga Ketua Umno Sungai Besar hanya mengeluarkan kenyataan dan membuat gimik menghayun penukul memecahkan sebuah meja ketika sidang media di Ampang bagi menunjukkan tindakan bakal diambilnya untuk menangani masalah perjudian di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, Jamal datang untuk memberi keterangan bersabit kes yang disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan.

“Setakat ini tiada sebarang rampasan tukul dibuat, siasatan masih diteruskan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MIRI - Polis menahan 28 suspek berkaitan perjudian dalam talian menerusi tiga operasi yang diadakan di sekitar bandar raya ini dalam tempoh 4 September hingga semalam.
  • JITRA - Seorang lelaki tempatan antara ditahan bersama sembilan kaki judi warga Indonesia selepas didapati berjudi sabung ayam di dalam kebun getah di Kampung Batu Gajah, Mukim Malau, Jitra, kelmarin.
  • AMPANG - Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos menggesa Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan atau menarik balik lesen Pusat Hiburan Keluarga kerana ada pihak dipercayai menyalahgunakan lesen itu dengan membuka premis judi.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 239 peralatan judi dalam talian termasuk mesin simulator dan cip komputer bernilai RM345,500 dirampas dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram Siri ke-37 (Op BAH 37) di dua premis tidak berdaftar di sini, malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.