KLANG - Rakyat mengharapkan aduan dan masalah setempat di bawah Dun Sungai Kandis diberikan perhatian oleh calon yang diangkat sebagai Adun yang baharu kawasan itu.

PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini pastinya menjadikan suara hati dan harapan penduduk sebagai tumpuan calon bertanding untuk melobi undi.

Antara isu setempat yang disuarakan penduduk sewaktu tinjauan Sinar Harian semalam adalah mengenai sistem perparitan di Jalan Kota Raja.

Peniaga, Mohd Ramlan Matsa, 50 berkata, dia berharap isu banjir kilat di kawasan tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya melalui pelan jangka masa panjang.

“Sebelum ini kerajaan negeri dan wakil rakyat dah bagi peruntukan bagi mengatasi masalah itu tapi mungkin disebabkan naik taraf itu tak menyeluruh maka masalah itu tidak selesai sepenuhnya.

“Tetapi selepas kerajaan negeri dan pusat di bawah Pakatan Harapan (Harapan), pastinya sebagai rakyat saya harapkan ada penyelesaian, sudah tidak ada alasan lagi,” katanya.

Katanya yang telah tinggal di kawasan tersebut hampir 20 tahun menyifatkan, pembangunan dan penyelenggaraan perparitan tidak berjalan seiring.

“Apabila terlalu banyak projek perumahan tetapi sistem infra masih ditakuk lama maka muncul pelbagai masalah baharu seperti banjir kilat, kesesakan jalan dan lain-lain.

“Dah sampai masanya pihak berkuasa tempatan bersama wakil rakyat (Adun, Ahli Parlimen) dan pihak berkaitan duduk semeja seterusnya merangka pelan sistem perparitan efektif dengan penglibatan pemaju perumahan yang turut bertanggung jawab menyediakan kemudahan itu,” katanya.

Selesai isu jalan sesak

Pembantu tadbir, Ida Zulaikha Md Arifin,29 berkata, masalah kesesakan jalan khususnya pada waktu punca perlu diberikan perhatian dan penyelesaian.

“Saya berulang-alik dari Taman Sentosa menuju ke Jalan Perbandaran setiap hari melalui jalan Kampung Jawa yang mengambil masa antara 40 hingga 55 minit untuk sampai ke pejabat.

“Jalan ini saya gunakan untuk menghantar anak-anak ke rumah pengasuh dan ibu mertua. Ia turut menjadi laluan bagi pengguna yang menghantar anak ke sekolah berhampiran,” katanya.

Katanya, dia berharap jalan alternatif dapat dibuka bagi penyelesaian masalah itu.

“Nak buat pelebaran mungkin susah kerana kawasan terhad disebabkan kiri kanan jalan telah dibangunkan unit kedai.

“Saya sebagai pengguna laluan di sini dan telah menetap di Klang hampir lapan tahun berharap isu jalan ini diberikan perhatian dalam tempoh lima tahun pentadbiran sebelum bersambung ke penggal seterusnya,” katanya.

Belia perlu sokongan modal perniagaan

“Kerajaan negeri atau wakil rakyat yang dilantik harap memberi penekanan ruang niaga kepada golongan belia,” itu pandangan pengundi muda, R Gautam, 22.

Dia yang mengusahakan bengkel motosikal di Kampung Jawa berkata, faktor persaingan dan pelanggan yang tidak menentu menyebabkan perniagaan yang diusahakannya sekadar ‘cukup makan’.

“Sewa kedai sudah RM500 tapi kalau tengok kawasan di sini sudah ada tiga hingga lima bengkel motosikal. Pelanggan pula kebanyakan orang sekitar sini sahaja, susah nak dapat hasil lumayan, sekadar pulang modal.

“Kalau boleh kerajaan negeri ada saluran ‘fast track’ bagi membantu peniaga kecil khususnya golongan belia untuk memajukan perniagaan melalui kelonggaran syarat atau suntikan modal sebagai salah satu galakan,” katanya.

Anak jati Klang, Mohd Shakir Samsudin,27 pula meminta wakil rakyat yang dilantik memberikan tumpuan kebajikan dan keperluan penduduk orang kampung.

“Perbanyakkan bantuan kepada orang kampung yang ramai susah. Mungkin ada yang terlepas pandang tapi perkara itu boleh diatasi jika pemimpin turun bertemu masyarakat sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Ada antaranya menagih perhatian bantuan kos perubatan, alatan perubatan dan juga perbelanjaan harian bagi asnaf serta yatim piatu. Kebanyakan penduduk di sini merupakan orang susah yang mengharapkan bantuan kerajaan,” katanya.

Katanya, pemimpin baharu bagi Dun Sungai Kandis juga diharapkan dapat meninjau masalah rakyat dengan lebih dekat melalui turun padang.

“Adakan sesi dialog sebagai contohnya supaya kami dapat mengajukan aduan terus kepada wakil rakyat tanpa perlu ke pejabat. Itu dapat merapatkan jurang antara pemimpin dengan rakyat.

“Banyak masalah kami nak adukan termasuk lambakan warga asing yang menjalankan perniagaan. Sebagai anak tempatan pastinya kami rasa tercabar dan kurang senang dengan kemewahan yang ada antaranya memakai kereta mewah sedangkan kami hanya pakai Wira cabuk,” katanya.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Tarikh 21 Julai ditetapkan SPR  untuk proses penamaaan calon dan tempoh kempen dibenarkan berlangsung selama 14 hari sebelum hari pengundian ditetapkan pada 4 Ogos.