SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) akan mengadakan pendengaran awam mengenai 'Wabak Denggi di Selangor' pada 23 Februari ini, kata pengerusinya Hannah Yeoh.

Beliau berkata jawatankuasa itu memutuskan untuk menyiasat perkara berkenaan berikutan Selangor merekodkan kadar jangkitan wabak denggi yang tertinggi di negara ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini Jabatan Kesihatan Selangor, untuk 2015, sebanyak 63,198 kes denggi dilaporkan dan menurut Kementerian Kesihatan sebanyak 7,335 kes denggi dilaporkan untuk tempoh 1 Januari 2016 sehingga 2 Februari lepas.

"Tujuan pendengaran awam ini adalah untuk menyiasat punca penyebaran penyakit denggi, kecekapan pengurusan, pelaksanaan aktiviti pencegahan dan pembanterasan serta perbelanjaan dana dalam usaha menangani wabak denggi di Selangor.

"Selain Kementerian Kesihatan, tugas dan tanggungjawab untuk memastikan wabak denggi ini terkawal, juga terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah, Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Selangor. Jawatankuasa juga mengambil maklum kerisauan wabak virus Zika," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hannah berkata dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kesemua pegawai berkaitan dari Jabatan Kesihatan Selangor, PBT serta Pejabat Tanah dan Daerah telah dipanggil untuk memberikan keterangan pada Selcat.

Pendengaran awam tersebut boleh diikuti di laman sesawang Selangorku http://www.selangorku.com atau http://tv.selangorku.com/ bermula 10 pagi,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Kes demam denggi di Kedah masih tinggi, iaitu 754 kes bermula Januari hingga 10 Jun tahun ini, berbanding 380 kes bagi tempoh sama tahun 2016.
  • GEORGETOWN - Jumlah kes denggi di kawasan Barat Daya Pulau Pinang menunjukkan peningkatan sejak awal tahun ini dengan dua kes kematian laporkan sejak Januari ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.