SABAK BERNAM - Selangor tidak akan sesekali membenarkan sebarang usaha pihak tertentu untuk menutup institusi tahfiz yang beroperasi di negeri ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, cadangan pihak tertentu untuk menutup pusat tahfiz disifatkan sebagai tidak wajar, apatah lagi ditimbulkan seorang yang beragama Islam.

Menurutnya, pusat tahfiz memainkan peranan untuk melahirkan lebih ramai huffaz di samping memastikan al-Quran sentiasa diperkasa dan terus subur dalam kalangan masyarakat Islam.

"Kita memang akui ada beberapa masalah tentang pusat tahfiz di negeri ini yang tidak berdaftar dan mengikut kurikulum ditetapkan, tetapi perkara ini boleh diatasi," katanya pada sidang media selepas Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan Bahagian Pemulihan Al Riqab, Mais, di sini.

Mohammed Khusrin berkata, pihaknya dengan bantuan kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memperjuangkan institusi tahfiz di Selangor.

Malah, katanya, pihaknya turut bercadang untuk memperkembangkan lagi maahad tahfiz sains dan teknologi di seluruh daerah di negeri ini.

"Pusat ini bukan sekadar tahfiz sahaja, tetapi maahad ini mampu menjadi sebuah tahfiz yang profesional dan boleh melahirkan lebih ramai doktor, jurutera dan pentadbir," katanya.

Menurutnya, pada masa ini terdapat empat institusi tahfiz sains di bawah kerajaan negeri dan sebuah lagi sedang dalam pembinaan di Pandan.

"Selain itu, kita juga bercadang membina sebuah maahad tahfiz antarabangsa pertama di negeri ini di Seksyen 7, Shah Alam.

"Maahad ini baru di peringkat perancangan dan ia dibina melalui sumbangan wakaf dan telah pun diwakafkan kepada PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor).

"Manakala, kos perbelanjaan pembangunan dikongsi kerajaan negeri dan syarikat swasta. Kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan," katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada 'amalan agama jumud'.

Zainuddin dalam blognya berkata, langkah itu perlu diambil kerana semua sekolah tahfiz di negara ini dilihat tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baharu Islam.