SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor tidak berhasrat menghapuskan semua program Insentif Peduli Rakyat (IPR), namun pendekatan terhadap semua bantuan yang diberikan secara percuma itu perlu berubah pada masa sekarang.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, setelah 10 tahun perlaksanaan IPR, satu kajian dibuat berhubung sejauh mana pemberian bantuan kepada rakyat itu mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Menurutnya, hasil kajian itu menunjukkan terdapat beberapa program di bawah IPR menimbulkan sesuatu yang kurang baik iaitu kebergantungan rakyat kepada kerajaan semata-mata.

“Ini bukanlah ciri dan pentadbiran yang kita mahukan kerana sikap kerajaan sudah pasti ingin membantu khususnya golongan miskin, kurang upaya dan tidak mampu bersaing dengan baik.

“Tetapi kalau mereka sihat, boleh bekerja, berpendidikan dan mempunyai kemampuan, mereka ini bukannya harus disuap tetapi perlu diperkasa dan diberdaya,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan bersama Penjawat Awam di Dewan Seri Bernam, di sini, hari ini.

Menurutnya, sehubungan itu kerajaan negeri pada masa sekarang menumpukan daripada pemberian bantuan kepada pemerkasaan dan pembedayaan.

“Pemerkasaan bukan hanya menumpukan pemberian secara percuma tetapi juga melalui kemahiran, pengetahuan dan pendidikan. Terdapat beberapa program IPR mencapai objektif dalam usaha membantu rakyat keluar daripada kepompong sebelum ini.

“Sebagai contoh, Program Hijrah membabitkan lebih 50,000 peminjam menunjukkan 60 peratus daripadanya meningkat dari segi perniagaan yang diusahakan. Tuisyen Rakyat yang dilaksanakan lebih 10 tahun lalu pula membantu anak muda mendapat tuisyen percuma sekali gus menggerakkan pencapaian akademik lebih baik,” katanya.

Amirudin berkata, setiap rakyat terutama penjawat awam perlu bersedia menghadapi perubahan tersebut namun kerajaan negeri sama sekali tidak menarik semua subsidi dan mengurangkan bantuan yang diberikan

“Kerajaan ingin mengubah setelah fasa pertama yang kita laksanakan menunjukkan bahawa kerajaan boleh berkongsi kekayaan dan hasil nikmat daripada seluruh rakyat di negeri ini.

“Tetapi dalam masa sama kita juga ingin merubah hasil nikmat kepada proses pemerkasaan dan pembedayaan di negeri ini,” katanya.