SEPANG - Kerajaan Selangor berhasrat untuk mengkaji semula kadar caj sebanyak 20 sen bagi setiap pembelian beg plastik di pasar raya selepas ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, langkah tersebut bakal diambil berikutan pelaksanaan inisiatif itu dilihat tidak memberi impak positif terhadap Kempen Bebas Plastik dan Polistirena.

“Pada mereka, tidak mengapa bayar 20 sen sahaja, jika beli lima beg plastik, baru RM1, jadi orang ramai tetap membelinya namun ia dianggap mengecewakan kerana misi kepada kempen bebas plastik mungkin kurang berjaya.

“Disebabkan isu ini, saya akan membincangkan semula cara perlaksanaan kempen ini dengan lebih berkesan,” katanya seperti dipetik oleh Selangor Kini.

Di samping itu, Loy Sian berkata pihaknya turut kecewa berikutan ada di antara pusat membeli-belah tidak memberi kerjasama terhadap kempen itu dan masih menjual beg plastik kepada pelanggan mereka.

Beliau berkata, cadangan penggunaan beg kertas kitar semula difikirkan lebih bersesuaian bagi menggantikan plastik.

Sejak 1 Januari 2017 lalu, setiap perniagaan di Selangor tidak dibenarkan untuk menyediakan beg plastik secara percuma dan kerajaan negeri turut menggalakkan peniaga agar mengenakan caj kutipan 20 sen bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dalam pada itu, Penasihat Persatuan Alam Sekitar Malaysia Pulau Pinang, D. Kanda Kumar mempersoalkan tindakan pihak terlibat yang berhasrat untuk mengkaji semula inisiatif itu selepas ini.

Kanda berkata, setiap negara di seluruh dunia ini sudah mengambil langkah untuk mengenakan caj bagi penggunaan beg plastik berikutan mereka mengetahui bahawa ia mempunyai pelbagai kesan buruk terhadap alam sekitar.

“Kenapa pula Selangor yang telah melaksanakan inisiatif ini ingin ditarik balik?

“Banyak kesan buruk akibat penggunaan beg plastik seperti yang kita ketahui antaranya ia memberi ancaman kepada hidupan di dalam air di samping turut mencemarkan alam sekitar berikutan proses pelupusannya mengambil masa begitu lama,” katanya.

Selain itu, Kanda berkata cadangan pihak berkenaan yang berhasrat untuk menggunakan beg kertas juga dilihat tidak akan memberi kesan positif dalam usaha untuk memelihara alam sekitar khususnya di Selangor.

Beliau berkata, apa yang lebih penting buat masa ini adalah untuk mendidik masyarakat awam dengan membiasakan mereka membawa beg kitar semula sendiri sewaktu membeli belah barangan keperluan.

“Langkah ini lebih berkesan berbanding penggunaan beg plastik dan usaha ini juga seharusnya mendapat kerjasama daripada kerajaan persekutuan.

“Malah saya berharap agar kerajaan persekutuan dapat mewujudkan satu akta bagi membolehkan sebarang caj dikenakan dalam penggunaan beg plastik di seluruh negara ini,”katanya.

Tambahnya, bagi menggalakkan lagi masyarakat awam untuk membawa beg kitar semula sendiri, pengusaha kedai atau pasar raya mungkin boleh memberi sumbangan mereka dengan mengenakan potongan harga tertentu kepada mana-mana pihak yang membawa beg sendiri.