KUALA LUMPUR -  Sekatan  jalan raya oleh pasukan polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Jalan Reko, Kajang dekat sini, malam tadi membawa kepada penemuan seorang lelaki berlumuran darah dengan perut terburai di dalam sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kereta terbabit yang turut dinaiki empat lelaki lain berusia antara 21 dan 30-an ditahan dalam sekatan di satu selekoh menghala ke Metro Kajang pada jam 11.20 malam.

“Pemandu kereta yang kelihatan mencurigakan itu juga cuba menyogok anggota polis yang membuat pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan sebilah parang di dalam but kereta jenis Honda Accord itu.

Siasatan awal mendapati mangsa ke sebuah kondominium di Setapak untuk berjumpa dengan seorang daripada suspek apabila tiba-tiba dia dikepung oleh sembilan lelaki yang kemudian bertindak menyerangnya.

“Suspek menikam mangsa menggunakan parang dan membawa mangsa menaiki kenderaan itu ke arah Kajang bersama tiga lagi suspek,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi  Hospital Kajang dan dilaporkan stabil.

Kesemua empat suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau ditahan untuk siasatan, katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LAHAD DATU - Polis berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjata dalam tempoh sejam dengan tertangkapnya dua lelaki yang dipercayai menyamun telefon bimbit milik seorang guru lelaki di Jalan Pantai di sini, malam tadi.
  • BAHAU - Kerana disyaki mencuri motosikal, sekumpulan lelaki bertindak membelasah suspek sehingga parah sebelum membawanya ke balai polis.
  • HULU BESUT - Seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri kereta di sekitar daerah ini dicekup sepasukan anggota polis dari Balai Polis Pasir Akar, Hulu Besut di sebuah rumah di Kampung La tengah hari semalam.
  • LAHAD DATU - Sebanyak 63.84 peratus atau 173 daripada 271 keseluruhan kes jenayah indeks diselesaikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sejak 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini.
  • KUANTAN - Penunggang dan pembonceng direman tiga hari selepas ditahan kerana menaiki sebuah motosikal dalam keadaan melulu dan berbahaya ketika lari dari pemeriksaan polis, di sini awal pagi semalam.