SABAK BERNAM - Kerajaan digesa mempercepatkan usaha membina sebuah kediaman baharu bagi mangsa kebakaran kematian suaminya yang rentung dalam kejadian di Jalan Haji Ehsan, Kampung Sungai Tengar, di sini.

Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, beliau berharap bantuan bina semula rumah itu disegerakan kerajaan baharu yang dipilih rakyat pada PRU14 lalu.

Menurutnya, sejak kejadian itu, mangsa kebakaran, Tuminah Kadis, 78, terpaksa menumpang di rumah saudara terdekatnya, Abdul Wahid Yunos, 70.

“Saya sendiri akan berjumpa Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman sebagai wakil kerajaan negeri untuk berbincang apakah bentuk bantuan dapat dihulurkan buat sementara waktu dan pembinaan rumah baharu untuk jangka masa panjang,” katanya.

Dalam kejadian 25 Jun lalu, suami Tuminah, Ahmad Arshad, 76, ditemui rentung selepas dipercayai terperangkap dalam rumah yang terbakar.

Bagaimanapun, Tuminah bersama anak perempuannya, Nurul Huda Ahmad, 31, terselamat dalam kejadian berkenaan.

Abd Rahman yang baharu dipilih perwakilan menerajui Umno Bahagian itu pada pemilihan parti itu berkata, Umno turut mengambil inisiatif mengumpul dana untuk diserahkan kepada mangsa kebakaran terbabit.

“Tujuan kami datang ke sini, adalah untuk menyampaikan amanah daripada perwakilan yang memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran semasa Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sabak Bernam, 30 Jun lalu.

“Kami juga berterima kasih kepada kepimpinan Umno Kampung ini yang sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik semasa kebakaran se­hinggalah proses Tuminah berpindah sementara di sini,” katanya.

Menurut Abd Rahman, beliau berharap Tuminah bersabar, istiqamah dan reda dengan apa yang berlaku kerana semuanya adalah ketentuan ALLAH.

“Kita faham perasaan mangsa pada ketika ini dan sama-sama berdoa agar roh arwah suaminya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan soleh,” katanya.