KUALA LANGAT - Kanak-kanak yang berusia 12 tahun yang berjaya menyelamatkan diri sempat menyaksikan nenek, datuk, adik dan sepupunya ditetak oleh seorang lelaki yang memakai topeng sebelum rumahnya dibakar.

Kanak-kanak itu memaklumkan detik-detik kejadian itu melalui satu video yang dirakam oleh jirannya yang berdurasi 1 minit 37 saat selepas kanak-kanak itu berjaya menyelamatkan diri.

Dia yang ketika itu menaiki basikal memberitahu, ketika lelaki itu memecah masuk kediaman yang dihuni bersama empat ahli keluarganya, dia mengacukan parang.

"Saya berlari ke tandas bagi menyelamatkan diri dan melihat ahli keluarga saya ditetak sebelum api dinyalakan lelaki itu.

"Saya dengar dia cakap dalam bahasa melayu tetapi mukanya saya tak nampak sebab dia pakai topeng," katanya.

Menurutnya, dia hanya keluar daripada tandas sebaik lelaki itu beredar dengan mengayuh basikal ke kawasan sekitar bagi mendapatkan bantuan jiran.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, dua kanak-kanak termasuk datuk dan nenek maut dalam kebakaran membabitkan kediaman mereka di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, di sini.

Mereka yang maut dikenali Chia Tee Nang, 73, and isteri, Lim Mai Shak, 68, serta dua cucu masing-masing dikenali Chia Yuan Bin, 3, dan Ryan Chia Zeng Xi, 9.