SUNGAI BESAR -  Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan beliau tetap setia terhadap parti itu walaupun sekiranya keputusan tidak memihak pada beliau dalam pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung 30 Jun ini.

Jamal berkata, kesetiaan beliau pada Umno tetap utuh dan tidak berbelah bahagi walau apa jua keputusan kelak.

"Pada saya, apa yang penting adalah semangat kekeluargaan Umno terus terjalin dan lebih kuat bagi menghadapi pelbagai cabaran akan datang," katanya menerusi kenyataan yang dikirim salah seorang ahlinya menerusi aplikasi WhatsApp kumpulan, sebentar tadi.

Jamal dalam kenyataannya itu berkata, beliau yakin mempunyai kekuatan dan alasan kukuh untuk mengembalikan semangat perjuangan sayap itu.

Katanya, keyakinan itu perlu diperkukuh bagi memastikan jentera pemuda lebih bertenaga dari generasi ke generasi akan datang, selain harus dibentuk dengan didikan yang lebih berani, berprinsip dan berdisiplin serta tidak melupakan asas perjuangan Umno sejak dahulu lagi.

"Memandangkan pertandingan ini adalah secara terbuka, memilih untuk menjadi calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini, bukanlah satu niat untuk menyangkal lawan bagi jawatan yang sama mahu pun yang lebih berpengalaman, kerana masing-masing mempunyai kelebihan tertentu.

"Saya berikrar untuk memberi sepenuh komitmen bersama rakan-rakan seperjuangan dan jentera pemuda untuk mengangkat serta menzahirkan keteguhan nama pemuda Umno seperti zaman kegemilangan terdahulu," katanya.

Jamal memberitahu, parti keramat orang Melayu itu harus terus dibangkitkan dari dalam diri supaya ia meresap ke segenap inci kekuatan kerohanian bagi menjaga segala aspek ketuanan kaum itu yang kian ditindas.

"Saya juga mengambil pendekatan terbuka untuk ditegur dan dikritik bagi memastikan kelancaran perjuangan bersama pemuda Umno untuk memacu parti ke arah yang lebih baik dari semasa ke semasa.

" Saya yakin dan percaya, saya juga mempunyai kelemahan, namun itu bukanlah penyebab untuk saya mengalah bagi meneruskan serta mencipta idea baharu dan lebih luar biasa berlandaskan peredaran arus zaman moden kini," katanya.

Ujarnya lanjut, seorang pemimpin sebenarnya diuji semasa menghadapi krisis sama ada untuk mempraktis kebijaksanaan, menghadapi realiti, membawa perubahan dan berkorban bagi meneruskan wadah perjuangan parti itu.

"Bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa kesetiaan saya pada Umno tetap utuh dan tidak berbelah bahagi walau apa jua keputusan kelak.

" Pada saya, apa yang penting adalah semangat kekeluargaan Umno terus terjalin dan lebih kuat bagi menghadapi pelbagai cabaran akan datang," katanya.

Beliau berkata, sayap parti itu juga merupakan harapan serta tunjang bagi membekalkan warisan kepimpinan terdahulu untuk dibawa pada masa akan datang.

Jelasnya, keikhlasan dalam menterjemahkan perjuangan wadah Umno pasti akan membawa parti keramat ini ke arah yang lebih cemerlang dan gemilang.

"Saya rayu sokongan dan bantuan para saudara bagi membolehkan saya memimpin Pergerakan Pemuda Umno menjadi barisan jentera yang akan membela dan memperjuangkan nasib Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA)," katanya.

Beberapa individu lain turut diumumkan bertanding jawatan Ketua Pemuda, antaranya Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Shahar Abdullah.

Jamal menjadi buruan polis selepas gagal tampil dan memberikan kerjasama kepada polis berhubung siasatan dilakukan ke atasnya, menyebabkan pihak berkuasa itu mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Pada 25 Mei lalu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu didakwa atas tiga tuduhan ketika di Hospital Ampang Putri, Ampang, dan masih berbaki enam kes belum dituduh.

Jamal dituduh di hospital berkenaan atas kesalahan mempamerkan senjata api serta dua kesalahan lain sebelum menghilangkan diri selepas diikat jamin.