SERDANG - Salah faham mengenai wanita dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang lelaki warga Indonesia yang mayatnya ditemui di kawasan hutan berhampiran perumahan Jalan Impian Indah, Bandar Kinrara di sini, petang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, selepas penemuan mayat itu pihaknya melakukan gerakan memburu suspek.

Menurutnya,  polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia di Serdang pada hari sama sebelum memberkas dua lagi lelaki di Nilai dan Kajang, Selasa lalu.

Turut dirampas sebilah parang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

"Kesemua suspek direman tujuh hari hingga Ahad dan Selasa ini.Kes ini berjaya diselesaikan sepenuhnya dalan tempoh 24 jam dan kertas siasatan akan dilengkapkan sepenuhnya," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tikaman di kawasan hutan berhampiran perumahan Jalan Impian Indah, Bandar Kinrara.

Mayat lelaki lengkap berpakaian, tidak berkasut ditemui dalam keadaan tertiarap di lereng bukit dan semak.

Terdapat beberapa kesan luka dipercayai akibat ditikam menggunakan objek tajam pada belakang leher, pinggang dan siku tangan kiri.

Polis turut menemui segugus kunci motosikal dan cukai jalan di tangan kanan mangsa serta satu beg silang. Di dalam beg tersebut terdapat dompet berisi sejumlah wang dan salinan dokumen Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).