SHAH ALAM - Kerajaan Selangor terbuka untuk menjadi pemudah cara bagi mana-mana pemaju perumahan yang berminat mengambil alih projek perumahan terbengkalai di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri,  Haniza Talha berkata, bagaimanapun pemaju yang berminat perlulah berunding terlebih dahulu dengan pemaju asal projek berkenaan bagi meminta kebenaran mengambil alih projek selain mengemukakan kebenaran merancang yang baharu.

“Jika unit terbengkalai berkenaan sudah mempunyai pembeli, kebenaran daripada pembeli juga perlu diperoleh agar kepentingan mereka dapat dijaga, dan di pihak kerajaan negeri segala urusan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri akan dibantu sebaik mungkin.

“...tetapi mereka (pemaju perumahan) perlu mematuhi Dasar Perumahan Negeri Selangor yang menetapkan agar semua projek perumahan perlu menyediakan sejumlah bilangan rumah mampu milik dan rumah murah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Balakong Tan Chee Teong baru-baru ini, yang mempersoal kredibiliti kerajaan Selangor berikutan berlakunya lambakan projek perumahan terbengkalai di negeri itu.

Jelas Haniza, kuasa kerajaan negeri untuk menghidupkan semula projek terbengkalai di negeri ini adalah terbatas kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Akta Pemajuan Perumahan.

“Bagaimanapun kami akan bekerjasama dengan KPKT bagi memastikan projek perumahan terbengkalai di Selangor dapat dikurangkan selain dapat meningkatkan jumlah rumah mampu milik dan rumah murah untuk ditawarkan kepada rakyat Selangor,” katanya.

Terdahulu, ketika mengulas isu sama, Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata sebanyak 57 projek perumahan yang terbengkalai di Selangor telah selesai dipulihkan sepenuhnya, lima projek lagi dalam proses pemulihan manakala 20 lagi dalam perancangan untuk dipulihkan sejak 2009 sehingga 30 Jun lepas. – Bernama