KLANG - Seorang ibu tidak menyangka rumah didiami bersama suami dan tujuh anaknya di Jalan Kunci Air, Kampung Sungai Pinang terbakar hari ini angkara pemetik api.

Aswati Abdullah Sani, 41, mendakwa, sebelum rumahnya terbakar, dia ternampak anak keenamnya yang berusia empat tahun sedang bermain pemetik api di atas sofa di ruang tamu sekitar jam 9 pagi.

“Saya nampak dia cuba membakar baju yang berada atas sofa berkenaan, banyak kali saya cuba melarangnya namun dia berdegil.

“Pada masa sama, saya bersama anak bongsu berusia dua tahun masuk ke bilik tidur dan tidak lama kemudian saya terdengar bunyi letupan kecil dari ruang tamu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia segera menjenguk ke bahagian itu dan terkejut melihat api sedang membakar tilam dan bahagian bucu sofa.

“Saya segera menarik tangan anak yang ketika itu berada berdekatan sofa masuk ke bilik sambil menjerit meminta tolong seorang lagi anak yang berada di bilik mandi untuk padamkan kebakaran.

Namun api marak dengan cepat menyebabkan kami berempat keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri,” katanya.

erikutan kejadian itu, Aswati berkata, dua bilik tidur dan ruang tamu rumah berkenaan rosak teruk sekaligus menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa tidur di bahagian dapur.

Pada masa sama, beliau mengakui anak keenamnya itu memang gemar bermain pemetik api dan dia pernah menyebabkan sebuah almari di kediaman mereka terbakar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Athan berkata, bomba penerima panggilan kejadian jam 9.57 pagi dan tujuh anggota bergegas ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

“Kejadian itu melibatkan rumah jenis kelas A berkeluasan 22x60 kaki persegi.

Petugas memadamkan kebakaran menggunakan dua aliran hos melalui tangki pam jentera sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya jam 10.38 pagi,” katanya.