KLANG – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM4.6 juta untuk membaik pulih infrastruktur serta pembinaan prasarana di dua pangsapuri dan sebuah kawasan perumahan setinggan di daerah ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata daripada jumlah itu, sejumlah RM2.2 juta diperuntukkan untuk Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putra, manakala selebihnya diperuntukkan untuk Pangsapuri Golden Villa, Bandar Putra dan Kampung Dagang Jati.

“KPKT meluluskan peruntukan ini selepas kita melihat rakyat memerlukan bantuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi di kawasan perumahan masing-masing.

“Di Pangsapuri Sri Ayu ini contohnya, tiada pagar yang memisahkan pangsapuri ini dengan sebuah kilang haram bersebelahan.

"Kita bimbang keselamatan penduduk terutama kanak-kanak, jadi KPKT luluskan kira-kira RM1 juta untuk pembinaan pagar,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pangsapuri berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kota Raja Datuk Ir Kamaruzaman Johari.

Mengulas lanjut, Noh berkata selain pagar, peruntukan turut disalurkan untuk pembinaan gelanggang futsal berbumbung, empat buah gazebo, membaik pulih surau dan gelanggang bola jaring, pemasangan pendingin hawa di dalam dewan serta alat pemadam api untuk pasukan bomba sukarela di pangsapuri itu.

 “Peruntukan ini bukti Kerajaan Persekutuan prihatin masalah dihadapi penduduk di kawasan Dun Sri Andalas ini yang gagal ditangani wakil rakyatnya dari PKR. Sepatutnya dah dua penggal jadi Adun di Dun ini, wakil rakyatnya kenalah selesaikan masalah penduduk.

"Kerajaan Persekutuan dah buat pembangunan di Selangor tetapi siapa yang patut bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan?

"Takkanlah jalan kita dah buat, bila berlubang tidak boleh baiki. Jika BN menang di Selangor pada pilihan raya umum akan datang, kita akan beri yang lebih baik untuk rakyat Selangor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh yang juga Pengerusi BN Selangor meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya bersikap jujur dalam menyalurkan bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) kepada golongan ibu daripada keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah di negeri ini.

Katanya, ini kerana beliau difahamkan bahawa pemberian bantuan pembelian barangan keperluan asas membabitkan jumlah RM200 sebulan itu tidak menyeluruh kepada golongan sasar.

"Saya dimaklumkan program KISS yang dilancarkan oleh kerajaan negeri hari ini tidak diterima oleh semua golongan ibu dan ibu tunggal yang berpendapatan rendah.

"Mengapa boleh jadi sedemikian? Puncanya kerajaan negeri meletakkan syarat mana-mana pemohon yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak layak menerima bantuan itu.

"Bagi saya, ini satu bentuk diskriminasi politik, sepatutnya, kerajaan negeri tidak membeza-bezakan rakyat daripada menerima bantuan itu kerana mereka yang memohon sudah tentunya daripada gologan miskin dan berpendapatan rendah," katanya.  - Bernama