KUALA SELANGOR – Kerajaan negeri mengumumkan akan memperuntukkan sejumlah dana bagi pembangunan desa sempena pembentangan Bajet 2018 pada 3 November nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sudah menjadi dasar kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan desa tidak tertinggal meskipun Selangor mencatat kemajuan ekonomi yang cukup positif.

Menurutnya, sudah menjadi pendirian kerajaan negeri untuk merakyatkan kekayaan Selangor untuk dilimpahkan ke kawasan desa supaya pembangunan setara dengan bandar.

“Meskipun pembangunan kawasan luar bandar diperancakkan, namun pada masa sama jati diri kedesaan itu perlu dikekalkan sebagai pemangkin perpaduan orang kampung.

“Kena mempertahankan watak dan jati diri kedesaan ini supaya pembangunan yang dibawa seimbang,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) di Masjid Darul Salam Kampung Bukit Kuching, kelmarin.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu berkata, kerajaan negeri turut merangka Bajet 2018 dengan lebih teliti memandangkan keadaan kegawatan ekonomi ketika ini.

“Dalam merangka bajet, kita memikirkan pelbagai program yang boleh dilaksanakan supaya kekayaan negeri ini dapat dimakmurkan kepada rakyat luar bandar.

“Kerajaan negeri juga akan mengumumkan inisiatif baru menjelang pembentangan Bajet 2018 nanti yang menumpukan pembangunan desa termasuk kepentingan anak muda,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran 3K di masjid dalam kampung, Mohamed Azmin turut memuji pelaksanaan karnival itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan ketamadunan kepimpinan Islam di Selangor.

Beliau berkata, masjid adalah institusi penting yang perlu dimakmurkan dan kerajaan negeri turut memperuntukkan hampir RM300 juta bagi pembangunan institusi Islam dalam belanjawan sebelum ini.

Pada masa sama katanya, Bajet 2018 ini juga akan turut memberi fokus kepada bantuan naik taraf bangunan maahad tahfiz yang ada di Selangor bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga pendidik lebih terjamin.

Menurutnya, setakat ini, hanya 226 maahad tahfiz yang berdaftar dan masih ada lagi yang belum berdaftar.

Katanya, kerajaan negeri turut mengambil berat terhadap masa depan pelajar tahfiz yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lebih 16,000 pelajar tahfiz difahamkan tiada akses dan peluang menduduki peperiksaan penting seperti SPM, sekali gus mendorong kerajaan negeri untuk bantu mereka.

"Saya minta institusi pengajian tinggi yang ada seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) memulakan program mengikut ko-kurikulum SPM untuk anak tahfiz,

“Saya yakin dan percaya anak tahfiz yang mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran ini mampu berjaya dan layak memasuki institusi pengajian tinggi seperti pelajar lain,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor mendakwa beliau telah mendapat maklumat berkenaan tangkapan akan dilakukan lagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli keluarganya berkaitan kes rasuah.
  • BANDAR TUN RAZAK - Pakatan Harapan bersedia membatalkan projek pembangunan di padang bola sepak Jalan Jujur, di sini, jika menang PRU14 nanti.
  • SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan sikap melaga-lagakan kerajaan negeri dan rakyat berkenaan isu perobohan rumah, kedai serta pengusiran di persimpangan MRR2 Kampung Pasir, Hulu Kelang dan kediaman di pekarangan Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.
  • KUALA SELANGOR - Keluhan nelayan Jeti Kampung Assam Jawa, Pasir Tuntung, di sini yang tidak dapat menangkap hasil laut gara-gara pukat tidak sesuai dan tidak memenuhi syarat menjadi perhatian Kerajaan Selangor.
  • SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menghadiahkan khabar gembira kepada penjawat awam kerajaan negeri apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengumumkan pemberiah Insentif Khas Kewangan atau bonus tiga bulan ketika membentangkan Bajet Selangor 2018, hari ini.