PETALING JAYA - PRK Dun Seri Setia disifatkan sebagai satu ruang untuk rakyat menghantar mesej jelas kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya melibatkan kegagalan pentadbiran mereka.

Setiausaha Pas Selangor, Abdul Halim Omar berkata, rakyat tidak boleh menerima kegagalan dan siri pembohongan kerajaan PH terutamanya kegagalan menunaikan sebahagian besar manifesto Janji 100 Hari.

Katanya, kegagalan itu termasuk janji penghapusan tol, pelupusan hutang PTPTN dan lain-lain seterusnya menyebabkan rakyat terkesan dengan impaknya.

"Kegagalan ini memberikan kesan yang cukup besar kepada kos hidup rakyat khususnya golongan B40.

"Bebanan ini bukan setakat ditanggung oleh masyarakat Iuar bandar, malah masyarakat miskin bandar yang kita lihat secara jelas di kawasan Seri Setia misalnya.

"Ini tidak termasuk isu-isu sensitif yang kian menusuk jiwa masyarakat khususnya melibatkan Islam sebagai agama persekutuan, Raja-raja Melayu, liberalisme dan lain-lain.

"Keadaan yang tidak harmoni ini boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat berbilang kaum sekiranya tidak ditangani sebaiknya oleh pemerintah hari ini," katanya ketika sidang media di Pejabat Pas Petaling Jaya Selatan.

Abdul Halim kemudiannya menyeru seluruh pengundi Dun Seri Setia agar membuat penilaian dengan sebaiknya dengan mengundi calon Pas, Dr Halimah Ali, bagi memastikan kerajaan sedar kehendak rakyat.

"Apatah lagi untuk PRK ini, Pas menampilkan calon yang cukup hebat dan berwibawa seperti Dr Halimah.

"Dengan pengalaman yang cukup luas sebagai Exco Kerajaan Selangor dan Adun Selat Klang sebelum ini, beliau mampu menggalas tanggungjawab memenuhi aspirasi pengundi Seri Setia sebagai wakil rakyat yang baru.

"Dengan rendah diri, Pas menyeru kepada semua pengundi untuk keluar mengundi seawalnya dan akan membuat pilihan yang bijak dengan memilih Pas," katanya.