• Pusat sehenti gelandangan Gelandangan ini akan ditempatkan di Anjung Singgah yang akan memulakan operasi bulan depan.
1 /

MUAR – Bagi mengatasi masalah gelandangan di bandar raya Johor Bahru, kerajaan negeri mengambil inisiatif menubuhkan pusat sehenti berkonsepkan asrama serba lengkap yang dinamakan Anjung Singgah.

Anjung singgah yang bakal beroperasi bulan depan menempatkan asrama empat tingkat di Bangunan MCA dekat Sungai Segget dengan menawarkan bilik, katil, bilik air dan tandas, dapur, makanan, pusat pendaftaran serta bilik kaunseling yang boleh digunakan pada bila-bila masa bagi mereka memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai berkata, Anjung Singgah itu adalah yang ketiga dibuka di negara ini selepas Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak.

Menurutnya, Anjung Singgah yang didirikan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Masyarakat mensasarkan gelandangan yang ketika ini menjadikan kaki lima bangunan sekitar bandar raya Johor Bahru sebagai tempat tinggal.

"Anjung Singgah ini boleh menempatkan kira-kira 300 orang pada satu-satu masa dan kita akan menguruskannya bersama beberapa pekerja.

"Selain itu, gelandangan yang ditempatkan di sini juga akan diberikan kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membantu mendapatkan pekerjaan atau menggalakkan mereka berniaga secara kecil-kecilan,” katanya.

Dr Robia yang juga Adun Sungai Balang berkata, berdasarkan siasatan JKM negeri, kira-kira 50 gelandangan tegar menghuni kaki lima sekitar bandar raya sejak beberapa tahun lalu.

"Purata 30,000 pekerja dari negara ini berulang alik ke Singapura menggunakan motosikal setiap hari dan ada antara mereka lebih selesa tidur di kaki lima bagi memudahkan mereka berulang-alik untuk bekerja.

“Ramai memberi alasan mereka keluar seawal jam 6 pagi setiap hari dan bekerja hingga jam 11 malam, mereka akan balik ke Johor Bahru pada tengah malam dan berehat di kaki lima sebelum bangun pada kira-kira jam 5 pagi untuk kembali bekerja di republik berkenaan, jadi rumah yang selesa tidak menjadi keutamaan buat mereka," katanya.

Dalam pada itu katanya, menerusi pusat pertama dibuka di Kuala Lumpur pada 2010, seramai 13,600 gelandangan dan mereka yang memerlukan berlindung di situ dalam tempoh setahun.