SAAT melangkahkan kaki ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam mata pasti melirik laju ke sudut kiri dan kanan sejurus melepasi pintu pagar sekolah.

Dengan keindahan taman yang diberi nama Taman Anggerik di bahagian kirinya, perasaan tenang terus menerjah ke dalam diri apabila lebih 10 tumbuhan orkid turut ditanam, selain bunga-bungaan kembang mekar dan berwarna-warni.

Jangan lupa untuk mendapatkan suasana berbeza berkonsepkan Asean di Taman Asean, di bahagian kanan pintu masuk.

Menggunakan konsep kitar semula, tersergam indah binaan bangunan ikonik KLCC daripada botol-botol terbuang.

Ketua Keceriaan dan Kebersihan Kawasan sesi pagi, Rozainora Mohd Nasir berkata, bukan dua taman tersebut sahaja yang ada, malah ada tiga lagi taman utama dibina dalam usaha menarik minat pelajar dan guru ke sekolah.

“Di pintu masuk boleh nampak taman berkonsepkan anggerik, manakala Taman Asean lebih kepada konsep kitar semula dan Asean yang menggunakan botol terbuang untuk bina replika KLCC.

“Ada juga Taman Gemilang yang juga berkonsepkan kitar semula dan kemerdekaan dengan menggunakan bahan terbuang seperti tayar dihiasi kombinasi warna-warna menarik serta Taman Teraputik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha 3K (Kebersihan dan Keceriaan, Kesihatan dan Keselamatan), Munirah Abu Bakar berkata, peranan yang dipegangnya itu memerlukan dia bijak membahagikan peruntukan yang diperlukan oleh setiap ahli jawatankuasa (AJK).

Katanya, Taman Teraputik antara yang dibina April lalu mendapat kerjasama dari Jabatan Landskap Negara (JLN).

“Taman Teraputik ni kami mohon dari JLN untuk buat kerjasama pembudayaan taman. Syukur terpilih dan berjaya.

“Untuk makluman, sekolah ni merupakan percubaan pertama yang berjaya jalinkan kerjasama seumpamanya dan semua kos ditanggung oleh jabatan ini,” katanya.

Cikgu Zainal tak lokek masa, tenaga

Insan yang memainkan peranan dalam memastikan kesuburan tumbuh-tumbuhan hijau dan berbunga tumbuh subur ialah Ketua Keceriaan dan Kebersihan Kawasan sesi petang, Zainal Jani.

Disebabkan kecintaan mendalam dengan keindahan alam, Zainal tidak berkira masa dan tenaga menjaga taman dan landskap sekolah setiap hari.

“Saya datang pukul 8 pagi setiap hari bersama pelajar di bawah Kelab Rekreasi seramai enam orang untuk bersihkan taman dalam 45 minit. Mereka datang empat kali seminggu, manakala saya setiap hari dan ia menjadi kewajipan walaupun musim cuti sekolah.

"Ramai pelajar termotivasi untuk sama-sama menjaga lebih-lebih lagi setelah tercalon dalam kategori Top 5 ini...sungguh tak sangka kerja suka-suka membuahkan hasil,” katanya yang mula menjaga taman sekolah sejak 1987.

Pada masa sama, usaha guru-guru dan pelajar diketengahkan oleh guru teknologi maklumat, Shazalina Ghazali yang bertanggungjawab menghantar penyertaan Anugerah Kecemerlangan GPS Bestari, sekali gus melayakkan sekolah tersebut berada di tangga Top 5.

“Apabila dapat tahu GPS Bestari anjurkan pertandingan ni, saya tak teragak-agak untuk hantar penyertaan bersama-sama gambar berkaitan dengan memfokuskan pertandingan untuk landskap.

“Saya akan pastikan setiap warga sekolah dan pihak berkaitan undi sekolah kami sebagai tanda sokongan terhadap usaha mencantikkan sekolah,” katanya.

Pelajar seronok ke sekolah

Ternyata usaha pihak sekolah menerapkan keindahan alam dan landskap untuk menarik minat pelajar ke sekolah membuahkan hasil.

Bagi Hafizan Ajmaan, setiap hari semangatnya berkobar-kobar untuk ke sekolah.

“Setiap hari saya seronok ke sekolah. Konsep setiap taman bagi saya sangat unik dan tentunya saya suka habiskan masa ulang kaji pelajaran dan berehat di taman-taman yang ada bersama kawan-kawan apabila berkesempatan,” katanya.

Bagi Ilya Aliesa Nazmi pula, dia yakin sekolahnya itu adalah sekolah tercantik yang ada di kawasan sekitarnya.

“Terima kasih kepada guru-guru dan kawan-kawan terlibat yang sentiasa berusaha mencantikkan sekolah ni,” katanya.

Ternyata hasrat pihak sekolah terutama Pengetuanya, Putri Roslawati Hashim untuk menyemai perasaan cintakan sekolah dalam kalangan pelajar dan guru berjaya membuahkan hasil.

“Sejak saya bertugas di sini sejak tiga tahun lalu, landskap memang dah ada. Jadi setiap tahun kami buat penambahbaikan supaya pelajar lebih gembira dan seronok untuk bersantai dan ulang kaji pelajaran di sekolah.

“Saya sangat bersyukur sekolah ni tercalon sebagai Top 5. Ternyata GPS Bestari berjaya menaikkan semangat pihak sekolah untuk sentiasa beri yang terbaik,” katanya.